Polis tahan pemuda disyaki rogol kekasih bawah umur
nabalunews

23 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Polis menahan seorang pemuda yang juga penganggur kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur, 14 yang juga kekasihnya, di sebuah kawasan perumahan di Balung kira-kira jam 1.30 petang, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek, 23, ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau selepas laporan polis dibuat ibu mangsa, sehari sebelum tangkapan.
"Ibu mangsa membuat laporan polis pada jam 4.36 petang selepas anaknya memaklumkan kejadian rogol tersebut yang didakwa berlaku 16 November lalu.
"Siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah suspek yang merupakan teman lelakinya sebelum melakukan perbuatan tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan rogol.
Katanya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan perbuatan seksual terhadap seorang kanak-kanak.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta tidak membiarkan anak-anak tanpa pengawasan, khususnya dengan individu yang tidak dikenali atau kurang dipercayai.
תגובות