Politik perlu nafas baharu, ketepikan ketegangan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Politik perlu nafas baharu, ketepikan ketegangan


14 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli menggesa semua pihak untuk mengketepikan ketegangan politik di negara ini meskipun wujud perbezaan fahaman politik.


Beliau berkata, politik tanah air memerlukan nafas baharu dalam memastikan agenda yang dibawa Kerajaan Perpaduan dapat dicapai terutamanya bagi generasi muda.


Konvensyen itu menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.


"Kalau kita tidak fikirkan apa yang berlaku dalam negara, soal kemelut politik, krisis ekonomi yang drastik maka kita tidak akan berhimpun pada pagi ini.


"Mana mungkin kalau tiada keadaan sebegini kita akan duduk bersama dan masih selesa untuk terus bermusuhan dalam berpolitik," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia, di sini, pada Ahad.


Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, perhimpunan yang berlangsung hari ini merupakan titik sejarah dalam arena politik negara dalam menentukan masa depan negara yang lebih baik.


Beliau juga menyentuh mengenai isu-isu yang membelenggu anak muda seperti peluang pekerjaan, gaji dan perumahan yang memerlukan satu perubahan menyeluruh selain melihat kepada faktor utama terhadap permasalahan itu.


Beliau turut menyatakan komitmen Kementerian Belia dan Sukan dalam memperkenalkan Program Pendidikan Demokrasi sebagai inisiatif kerajaan dalam melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dalam selok-belok politik di negara ini.


"Kita tak boleh lahirkan pengundi muda yang hanya dilihat sebagai angka kerana mereka (golongan muda) juga perlu dilihat sebagai pembuat keputusan dan penguat terhadap negara," katanya lagi.

bottom of page