- nabalunews
Potensi besar belia perlu dimantap dan ditonjolkan lagi - Emmanuel
2 Ogos 2024
SANDAKAN : Presiden Majlis Belia Daerah Telupid merangkap Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sabah, Emmanuel Atin menyampaikan tiga usul dalam persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Bahagian Sandakan 2024 untuk memantapkan dan menonjolkan lagi potensi besar belia dalam agenda pembangunan negara.
Beliau yang juga Ketua Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Beluran mencadangkan penubuhan satu badan organisasi yang bebas dan hanya berfokuskan kepada pembangunan usahawan belia secara menyeluruh.
Cadangan lain yang disuarakan beliau adalah mewujudkan Pusat Latihan kemahiran di peringkat daerah yang boleh dinaik taraf sehingga menjadi sebuah institusi kemahiran.
Emmanuel turut mengutarakan penubuhan sebuah Akademi Sukan diperingkat daerah yang merangkumi semua jenis acara sukan berprestasi tinggi bagi mengasah dan mencungkil bakat baharu dalam sukan yang boleh mewakili Sabah dan seterusnya mewakili negara ke peringkat tertinggi.
Beliau mengemukakan cadangan itu di
persidangan MPBN Bahagian Sandakan yang berlangsung di dewan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Persidangan MPBN pada 31 Julai lalu itu disertai Majlis Belia Daerah Bahagian Sandakan terdiri belia mewakili Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Telupid, Tongod dan Paitan.
Antara objektif persidangan MPBN adalah mempertingkatkan pelaksanaan program pembangunan kepimpinan dan pengurusan organisasi belia serta membincangkan isu dan masalah yang dihadapi dalam proses pembangunan belia pada semua peringkat.
Selain itu, persidangan ini juga bagi meneroka dimensi baru dalam agenda pembangunan belia selaras dengan senario perubahan semasa serta menzahirkan pelan tindakan bagi menangani sebarang isu pernbangunan belia kesan daripada kemelesetan ekonomi semasa.
Persidangan ini juga bertujuan memperkukuh dan mempertingkatkan lagi hubungan antara pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS) dan pertubuhan belia serta agensi kerajaan dalam usaha melahirkan belia Malaysia yang dinamik dan berdaya saing.
Comments