top of page

PPM Rampas 6,230 Liter Minyak Diesel

  • nabalunews
  • Apr 13
  • 1 min read

13 April 2026


PENAMPANG: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 6,230 liter minyak diesel yang dipercayai cuba diseleweng dalam serbuan di di Kampung Kibabaig, di sini, semalam.


Hasil operasi itu, pasukan operasi turut menahan lima lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang aktiviti penyelewengan berkenaan.


Komander PPM Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abdul Rahman berkata, hasil serbuan, pihaknya menemui sebanyak 6,230 liter minyak diesel yang disimpan di premis berkenaan.


Katanya, pihaknya turut berjaya merampas sebuah lori tangki, pam elektrik serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan penyelewengan berkenaan.


“Pasukan operasi berjaya menahan lima individu yang berada di premis berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.


“Berdasarkan harga semasa, semua minyak diesel berkenaan dipercayai dibeli pada harga RM2.15 seliter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, semua bahan bakar berkenaan dipercayai akan dijual ke pasaran industri pada harga kira-kira RM6.50 dan menjadikan nilai keseluruhan sebanyak RM41,865.


“Aktiviti ini mengakibatkan ketirisan subsidi kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM28,471 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.


Sehubungan itu, Ahmad Amri menegaskan, aktiviti penyelewengan minyak subsidi yang sepatutnua dinikmati rakyat memberi kesan negatif kepada negara.


Katanya, aktiviti berkenaan menjejaskan ekonomi dan hasil negara serta berpotensi mendorong kepada aktiviti jenayah terancang seperti penyeludupan.


“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan demi memastikan kesejahteraan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page