top of page

PPM Rampas Kosmetik dan Petrol Seludup

  • nabalunews
  • 14 hours ago
  • 2 min read


7 Mei 2025


KOTA KINABALU: Cubaan dua penyeludup membawa masuk dan keluar barangan tanpa kebenaran berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di Semporna, kelmarin.


Barangan melibatkan produk kecantikan tanpa permit dan minyak petrol bersubsidi yang berjaya dirampas itu dianggarkan bernilai RM177,000.


Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, rampasan dilakukan menerusi Ops Bersepadu Intra/Inter Agensi - Op Taring Dosej di dua lokasi berasingan itu turut berjaya menahan dua individu.



Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Mesra, Semporna.


"Hasil pemeriksaan menemui sejumlah besar tong berisi bahan api disyaki minyak petrol dan pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah bot kayu yang penuh dengan muatan petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.


"Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan ini dan rampasan dianggarkan bernilai RM52,000," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, kes diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.


Katanya, suspek yang ditahan turut mengaku terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak petrol bersubsidi itu sejak tahun 2023.


Sementara itu, Abdul Rani berkata, kes kedua melibatkan penahanan seorang wanita yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan.


"Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 11 kotak berisi pelbagai produk kecantikan tanpa cukai dan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.


"Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dan produk berjumlah RM125,000. Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pihak JKDM untuk tindakan lanjut," katanya.


Menurutnya, hasil siasatan suspek mengaku barangan itu diperoleh dari negara jiran dan telah terbabit dalam aktiviti pembekalan produk kosmetik sejak 2024.


Sementara itu, Abdul Rani berkata, kejayaan operasi itu menunjukkan keberkesanan kerjasama antara agensi dalam membanteras kegiatan penyeludupan rentas sempadan.


“Operasi dijalankan oleh Cawangan Risikan/Task Force Batalion 22 PGA Kunak dengan dibantu Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.


“Operasi turut dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


"PGA akan terus mempergiatkan risikan dan operasi seumpamanya demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page