PRESIDEN UPKO: AYUH RAKYAT JELATA BANGKIT TUNTUT PERLAKSANAAN DESENTRALISASI URUSTADBIR NEGARAPRESIDEN UPKO: AYUH RAKYAT JELATA BANGKIT TUNTUT PERLAKSANAAN DESENTRALISASI URUSTADBIR NEGARA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRESIDEN UPKO: AYUH RAKYAT JELATA BANGKIT TUNTUT PERLAKSANAAN DESENTRALISASI URUSTADBIR NEGARA

Datuk Madius Tangau

Krisis Kesihatan Malaysia: Apa Nasib Sabah?



Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, Sudah hampir 2 tahun kita berdepan dengan pandemik Covid, kerajaan negeri yang ada di Sabah masih dengan pendekatan tunggu dan lihat apa yang akan diputuskan oleh Putrajaya.


Kalau sebelum ini kita mampu menutup sendiri penerbangan masuk dari luar ke Sabah, namun pada hari ini, nampaknya keputusan menyeluruh hanya akan dibuat mengikut apa kata Putrajaya.


Kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang sepatutnya tamat esok, 28 Jun. Namun dalam Kenyataan hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin, mengatakan bahawa PKP hanya akan ditamatkan apabila kes jangkitan berada di bawah 4,000 kes sehari. Dengan kes hari ini sebanyak 5,586 kes, maka PKP masih akan berterusan dan tidak berakhir esok.


Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, Ketika pelaksanaan PKP 3.0 diumumkan, pelbagai reaksi rakyat dan pemimpin dapat dilihat. Ini kerana pada awalnya Perdana Menteri telah memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak akan laksanakan PKP buat kali ketiga. Ada yang marah, ada yang meluahkan kekecewaan dan ada juga yang menyokong.


PKP dikatakan langkah terbaik untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. Tetapi, apa yang berlaku, selepas 27 hari kita melalui PKP, kes harian yang direkodkan masih kekal empat digit. Dan sehingga hari ini, kita masih tidak mendengar apa-apa perutusan daripada pihak kerajaan yang menjelaskan mengapa PKP tidak merendahkan jumlah kes ini.


Adakah negara semakin pulih? Jawapan mudahnya tidak. Anak-anak kembali menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah, dan semakin banyak sektor dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP 3.0 ini. Namun, Parlimen masih tidak bersidang meskipun Yang di-Pertuan Agong, dan Raja-raja Melayu telah bertitah agar Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri segera bersidang. Hanya DUN Johor dan DUN Selangor yang akan bersidang semula pada bulan Ogos. DUN Sabah masih penuh tanda tanya.


Saudara dan Saudari yang saya kasihi Sekalian, Hari terus berlalu, masa terus berjalan. Kita kini bukan sahaja berdepan dengan masalah Covid-19 tetapi kini masalah telah membawa kepada tekanan hidup yang tinggi kepada rakyat. Semalam laporan KKM menyatakan sebanyak 122,328 panggilan meminta bantuan sokongan emosi dan kaunseling direkodkan menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial KKM sejak awal tahun ini. Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang membunuh diri sebulan di Pulau Pinang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu sepanjang pelaksanaan PKP.


Bagaimana reaksi 72 orang barisan menteri dan timbalan menteri ketika mengetahui isu-isu sebegini? Sangat sedih sekali bagi sebuah negara jika isu bunuh diri seperti itu tidak dapat ditangani oleh pihak kerajaan dengan kabinet yang paling ramai. Realitinya rakyat sangat terkesan dengan situasi yang terpaksa dihadapi ini. Bukan sedikit angka, yang dilaporkan. Tetapi sebelum ia membarah dan menjadi wabak, seharusnya ada jalan penyelesaiannya bertindak agar tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Tiga hari yang lalu juga kita membaca berita jenayah tentang seorang lelaki cuba memecahkan mesin deposit bank ATM menggunakan absorber kereta di Balik Pulau. Juga kerana kesempitan hidup.


Saudara dan Saudari, Pada ketika kita membaca pelbagai berita buruk tersebut, beberapa negara telah mula menjalani kehidupan “pasca-pandemik Covid”. Bagaimana mereka boleh lakukannya? Adakah dengan 3 fasa PKP? Atau dengan SOP yang cacamerba? Tidak. Apa yang mereka lakukan? Mereka pastikan 70% populasi dewasa divaksinasi sekurang-kurangnya dengan dos pertama. Contoh yang paling baik adalah di Itali. Negara ini antara yang paling teruk di dunia terkesan akibat Covid-19 pada tahun lalu. Rekod jangkitan positif sebanyak 4.25 juta kes. Mengorbankan sebanyak 127,291 orang. Namun kini sedang pulih menuju ke zon putih sepenuhnya. Dan yang paling mengejutkan, Kementerian Kesihatan Negara itu mengumumkan pelitup muka tidak lagi wajib dipakai mulai esok.


Bagaimana dengan kita di Malaysia? Menteri yang bertanggungjawab untuk melakukan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) baru sahaja memberitahu bahawa beberapa pusat vaksinasi kehabisan bekalan kerana permintaan yang tinggi. Kenapa ini boleh berlaku sedangkan pada bulan Mei, beliau memberi jaminan bahawa proses vaksinasi akan lebih lancar pada bulan ini.


Saya ingin mengajak Saudara dan Saudari untuk melihat negara jiran kita Indonesia. Dua hari yang lalu, statistik dari laman web ourworldindata.org menyatakan bahawa mereka sudah berjaya memberi sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin kepada 38.4 juta penduduk. Sedangkan hari ini Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa penduduk Malaysia yang divaksin, baru mencecah 7.2 juta orang. Sepatutnya kerajaan boleh mencontohi negara Indonesia. Kalau mereka boleh, takkan kita tidak boleh.


Di Sabah pula, jumlah pendaftaran masih lagi rendah dan kadar populasi yang telah menerima vaksin juga kurang berbanding dengan negeri jiran kita, Sarawak. Adakah pusat vaksinasi yang kehabisan bekalan itu turut melibatkan Sabah? Saya difahamkan bahawa Sabah sedang berhadapan dengan kekurangan bekalan vaksin sehinggakan temu janji terpaksa diubah dan jumlah penerima vaksin setiap hari perlu dikurangkan. Saya telah membaca penjelasan menteri yang bertanggungjawab bahawa kekurangan vaksin adalah diluar kawalan kerana kekurangan tersebut disebabkan oleh faktor pembekal yang tidak mampu memenuhi permintaan global yang terus melonjak.


Yang menghairankan pada bulan Mei kerajaan sudah memberi jaminan bahawa tiada masalah. Adakah itu hanya sekadar cakap-cakap kosong yang sebenarnya tidak mempunyai perancangan terperinci. Ini bukan main-main, kerajaan sepatutnya melihat segala kemungkinan dengan mencari langkah-langkah yang wajar. Berhubung dengan hasil dapatan dan penjelasan menteri yang bertanggungjawab terhadap kadar pendaftaran yang rendah di Sabah, adakah yang berhormat baru menyedari tentang perkara ini?


Dan mengapakah selepas masuk empat bulan PICK ini dilaksanakan, baru ada kedengaran yang wujudnya sukarelawan di semua daerah masuk ke kampung-kampung untuk mendaftar secara manual. Kalaulah ini sudah difikirkan lebih awal, saya percaya ramai penduduk di kawasan pedalaman sudah lengkap dua vaksin pada masa ini. Adakah Yang Berhormat setuju ini adalah disebabkan oleh masalah capaian Internet di Sabah masih lagi terhad? Lihat sahaja anak-anak yang belajar, terpaksa keluar rumah mencari line untuk mengikuti PdPR. Berilah mereka 10 simkad percuma sekalipun, sekiranya masalah jalur lebar masih tidak diselesaikan, rakyat Sabah akan terus ketinggalan dan bergelumang dengan kemunduran.


Dan yang paling kurang munasabah ialah, sekiranya pendaftaran rendah di Sabah, bukankah mereka yang sudah awal daftar di MySejahtera sepatutnya telah mendapat panggilan suntikan memandangkan kurangnya saingan. Sebaliknya, ada yang sudah mendaftar sejak bulan Februari tetapi masih belum menerima temujanji sehingga kini. Ada pula yang dipanggil tetapi diminta hadir di Shah Alam, Selangor!



Pembuatan Keputusan Terlalu Berpusat


Saudara dan Saudari yang diHormati Sekalian, Ini bukan pertama kali kita berhadapan dengan percaturan yang ditentukan sepenuhnya oleh Putrajaya. Dan semestinya bukan kali pertama Sabah tidak mendapat sebarang manfaat, malah menerima padah akibat pembuatan keputusan di peringkat pusat yang gagal memahami keunikan dan keperluan sebenar negeri di bawah bayu ini. Pandemik Covid ini seharusnya membuka mata lebih ramai rakyat Sabah untuk sedar betapa jauh ketinggalannya kita dalam soal infrastruktur asas termasuklah kemudahan jaringan jalur lebar, kesihatan dan pendidikan. Mengapa ini berlaku sedangkan sudah 58 tahun Sabah membentuk Malaysia bersama-sama Sarawak dan Malaya?


Percayalah bahawa semua ini adalah kerana pembuat keputusan, pembuatan dasar dan polisi berkaitan pembangunan di Sabah, terlalu berpusat di Putrajaya. Peranan kerajaan negeri, kerajaan tempatan di daerah mahupun Kerajaan diperingkat kampung sangat terhad. Sebahagian besar keputusan dan perancangan berada dalam tangan pemerintah yang duduk dalam pejabat pentadbiran di Putrajaya. Ingatlah Saudara dan Saudari bahawa Inilah pentadbiran awam yang terlebih sentralisasi atau pemusatan kuasa yang keterlaluan diPutrajaya ataupun over centralisation of power in Putrajaya.


Apakah kesan pemusatan kuasa tersebut? Salah satu contoh adalah, rancangan pembangunan yang menggunakan pendekatan yang tidak menepati keperluan sebenar rakyat di sesuatu tempat, atau one-size-fits-all. Dengan erti kata lain, apa yang sesuai untuk dibangunkan di Johor, mungkin tidak sesuai untuk dilakukan di Kedah. Satu program yang sesuai dengan populasi diMelaka, berkemungkinan tidak boleh dilaksanakan di Sabah. Kerana apa? Setiap negeri mempunyai keunikan, potensi dan keperluan tersendiri.


Antara inisiatif kerajaan yang sesuai dijadikan contoh keburukkan pemusatan kuasa adalah usaha untuk memasyarakatkan sukan di peringkat akar umbi melalui program 1Belia 1Malaysia iaitu dengan membina gelanggang futsal diperingkat kampung di seluruh negara. Hampir setiap DUN di setiap negeri disajikan peruntukan untuk membina gelanggang dan kemudian setiap diarah untuk menganjurkan kejohanan futsal.


Saudara dan Saudari Sudah lebih 1 dekad berlalu, kita imbas kembali apa yang terjadi dengan gelanggang-gelanggang futsal yang telah dibina terutamanya di Sabah. Kebanyakannya terbiar dan tidak di selenggara dengan baik dan kini hanya lalang tumbuh subur meninggi. Bayangkan sekiranya peruntukan tersebut digunakan untuk membina lebih banyak menara telekomunikasi di Sabah. Mungkin masalah capaian Internet dan jalur lebar kita tidak seburuk sekarang. Atau, digunakan untuk menaiktaraf jalan-jalan kampung dan jambatan yang kritikal. Pasti aduan jalan runtuh dan rosak berkurang terutama apabila tiba musim tengkujuh.


Kesemua ini adalah hanya sebahagian masalah kemunduran pembangunan yang dihadapi rakyat Sabah. Kerana apa? Kerana semua keputusan dan perancangan pembangunan di buatkan oleh Putrajaya. Adakah pemusatan kuasa ini bagus untuk rakyat Sabah? Jawapannya tentulah tidak.


Pengenalan Desentralisasi


Saudara dan Saudari bagaimanakah kita boleh mengubah keadaan tersebut. Percayalah bahawa perubahan hanya boleh berlaku jikasekiranya rakyat menyokong perjuangan untuk mendesentralisasikan urustadbir negara sehingga kita berjaya. Desentralisasi yang saya maksudkan ialah mengagihkan kuasa pusat atupun menurunkan kuasa pusat kepada pentadbiran kerajaan negeri, kerajaan tempatan diperingkat daerah dan jawatankuasa urustadbir diperingkat kampung. Dalam erti kata lain, pengaturan dan pengurusan pembangunan hendaklah sesuai dengan keperluan sebenar masyarakat setempat akan diputuskan oleh pengurusan di peringkat negeri, daerah dan kampung masing-masing. Kerana kita semua tahu, bahawa pengurusan tempatan lebih memahami keadaan mereka sendiri.


Apa juga bentuk urusan, boleh di dirujuk di pejabat-pejabat daerah, yang sudah tentunya lebih dekat dengan penduduk setempat tanpa perlu ke bandar ataupun terbang ke Putrajaya. Pada masa yang sama, desentralisasi akan dapat membantu mengukuhkan pentadbiran di peringkat daerah dan kampung untuk lebih telus dalam menjalankan amanah kerana setiap keputusan yang diambil mereka dilakukan sendiri dan terbuka untuk diadili oleh masyarakat setempat.


Tentunya Saudara dan Saudari bersetuju dengan saya bahawa, sekiranya pengurusan pemerintahan tempatan berdepan dengan masalah, langkah penyelesaian dapat diambil dengan sendiri tanpa perlu menunggu arahan daripada kerajaan pusat. Kerenah birokrasi yang sentiasa melambatkan setiap perancangan akan dapat dikurangkan kerana keputusan segera boleh di buat dan diputuskan oleh pemerintah tempatan dan setempat. Ini kerana masalah kita tidak sama dengan jiran kita, dan cara kita juga mungkin berbeza dengan cara mereka.


Sama seperti penyelenggaraan kemudahan infrastruktur asas. Adakah kita masih mahu menunggu Putrajaya untuk menyelesaikan masalah sekolah-sekolah daif di Sabah agar anak-anak kita kembali ke sekolah yang selamat dan selesa? Laporan demi laporan mengenai sekolah daif telah dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun, peruntukan membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah di Sabah masih tidak mencukupi. Bidang kuasa untuk menentukan projek pembangunan sekolah di Sabah bukan ditentukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah tetapi di putuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Adakah mereka faham dan tahu akan keperluan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman? Pasti tidak kerana sehingga sekarang, masih ada guru-guru dan anak murid yang terpaksa bertarung nyawa untuk ke sekolah, merentasi jambatan gantung ataupun laluan berlumpur sehingga ke paras lutut.


Sudah sekian lama perbahasan demi perbahasan di Dewan Rakyat bahawa penempatan guru-guru sering mengundang rintihan tenaga pengajar di negara ini terutama bagi subjek yang mempunyai fokus seperti mata pelajar Bahasa Kadazandusun (BKD). Guru-guru yang terlatih dan berkelulusan bagi subjek BKD, tidak ditempatkan di sekolah-sekolah yang menawarkan subjek tersebut. Kenapa ini boleh terjadi? Kerana penempatan guru ditentukan oleh Putrajaya, yang tidak mengambil kira keperluan sekolah tempatan di Sabah.


Saudara dan Saudari yang saya Hormati Sekalian, Keadaan lebih kritikal kerana kontrak pemotongan rumput dan kawalan keselamatan kawasan sekolah juga masih ditentukan oleh Putrajaya. Analogi yang saya boleh berikan adalah bagaimana pandemik Covid memberikan kesan kepada semua rakyat Malaysia. Kita semua dalam lautan pandemik yang sama, yang membezakan kita adalah jenis layar yang dinaiki samada sampan, perahu, bot, ataupun kapal.


Kesimpulan


Oleh itu, meskipun dasar kerajaan di peringkat nasional adalah untuk melakukan pelbagai langkah transformasi, sering kali, kesediaan sesebuah negeri itu tidak dilandaskan kepada kayu ukur yang bersesuaian. Justeru, jawapan yang tepat kepada pelan pembangunan yang inklusif adalah desentralisasi.


Sebagai kesimpulan Saudara dan Saudari yang saya Kasihi Sekalian, berasaskan dengan fakta-fakta beserta dengan contoh-contoh yang saya sebut sebentar tadi maka masa sudah tiba bagi rakyat untuk bangkit menuntut perubahan. Pemusatan kuasa diPutrajaya yang keterlaluan hendaklah di ubah kepada sistem pentadbiran desentralisasi ia itu penurunan kuasa dari Putrajaya ke negeri-negeri, daerah-daerah dan kampung-kampung. Sudah tiba masanya kita alihkan tanggungjawab untuk mengurus pembangunan negeri ini daripada Putrajaya ke tangan sendiri dan diagihkan kepada pentadbir di peringkat negeri, daerah dan jawatankuasa kampung. Sekian Salam Rakyat Progresif dan Selamat Berjuang. Terima Kasih.


Presiden UPKO

Datuk Wilfred Madius Tangau


27 Jun 2021

bottom of page