top of page

Prihatin pesawah rugi dua musim, Ewon sumbang RM20,000 di Majlis Kaamatan Piasau

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 1 min read


Oleh : Romie Stanley DGuns


2 Jun 2026


KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, menyumbang RM20,000 kepada Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau Kota Belud bagi meringankan beban 158 ahli yang terjejas akibat kegagalan tanaman padi sejak 2023.


Sumbangan itu disampaikan kepada Pengerusi Persatuan, Fidelis Boyogo, semalam (1 Jun 2026) sempena Majlis Kaamatan Kampung Piasau yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Piasau.


Menurut Fidelis, para pesawah tidak dapat mengusahakan tanaman padi sejak musim kedua tahun 2023 berikutan pelbagai isu berkaitan sistem pengairan dan bekalan air ke kawasan sawah. Justeru, sumbangan daripada Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu merupakan bentuk keprihatinan yang amat bermakna.


"Bagi pihak seluruh 158 ahli persatuan, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ewon. Bantuan ini memberi sedikit kelegaan kepada ahli yang terkesan akibat kehilangan sumber pendapatan sejak 2023," ujar Fidelis.


Beliau menjelaskan bahawa keseluruhan RM20,000 akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan ahli-ahli yang terjejas, termasuk membantu meringankan beban kewangan keluarga pesawah yang kehilangan pendapatan sepanjang tempoh tersebut.


Persatuan turut berharap agar kerajaan dan agensi berkaitan mempercepatkan pemulihan sistem pengairan di kawasan jelapang padi Kota Belud supaya pesawah dapat kembali mengusahakan sawah secara berterusan dan meningkatkan semula pengeluaran padi.


Majlis Kaamatan Kampung Piasau yang berlangsung meriah semalam turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, selain menghargai jasa petani dan pesawah sebagai tulang belakang sektor pengeluaran makanan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page