PRIME kukuhkan kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana di Sabah
- nabalunews
- Sep 7
- 2 min read

7 September 2025
TAWAU: Peluncuran Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang merupakan kedua di negara ini dijangka mampu memperkukuhkan kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana di Sabah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini dua unit PRIME ditempatkan masing-masing di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025.
Katanya, PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)yang dilengkapi pelbagaiteknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.
“PRIME berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan,”katanya sempena peluncuran PRIME peringkat Sabah sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, hari ini.
Turut diadakan, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) Pelajar Cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) serta penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.
Sementara itu, HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai pengisian menarik seperti aktiviti perkhidmatan pintar, Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pameran oleh usahawan NADI.
Terdahulu, Fahmi turut meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kg Kuala Merotai, yang mula beroperasi pada 27 September 2024.
Menara itu menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.
Katanya, hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1, 200 penduduk.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi,Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.


















Comments