PRN Johor: Amanah sifatkan pertembungan kerusi PH, MUDA di Larkin 'amat malang'
Farah Salim

25 Feb 2022
Oleh Farah Salim
PETALING JAYA: Parti Amanah (Amanah) menyifatkan pertembungan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) MUDA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) 'amat malang'.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, ini kerana PH telah membentuk satu kerjasama dengan MUDA sejak awal.
"Amat malang seandainya berlaku juga pertindihan kerusi ini kerana PH telah membentuk satu kerjasama dengan Muda sejak awal. Situasi ini hanya akan menguntungkan BN dan PN di kerusi berkenaan.
"Namun, demikian Amanah terpaksa membuat pendirian untuk menghadapi kemungkinan ini. Bagi Amanah, PKR adalah rakan gabungan.
"Oleh itu di mana berlakunya pertindihan antara PKR dan Muda di kerusi yang telah diamanahkan kepada PKR, Amanah akan menyokong calon PKR," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu dalam laporan Astro Awani Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyarankan agar MUDA mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletak calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Beliau berkata, ini kerana rundingan antara PKR dan MUDA telahpun tamat selepas ia tidak mencapai persetujuan.
Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan nama Rasid Abu Bakar di kerusi Larkin yang menjadikan parti itu bertanding di tujuh kerusi berbanding enam yang dipersetujui bersama PH.
Comments