Produk makanan sampingan berasaskan pucuk ubi menang anugerah dalam SIVIIC
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Produk makanan sampingan berasaskan pucuk ubi menang anugerah dalam SIVIIC


26 Januari 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Produk makanan sampingan berasaskan pucuk ubi hasil inovasi sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya merangkul Anugerah Inventor Muda Terbaik Bidang Sains Sosial dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Maya Antarabangsa Sabah (SIVIIC), baru-baru ini. UMS yang diwakili oleh Hanif Abdurahman Siswanto, Alec Sean Tiannok Sunga dan Balqis Nasya Sajer memenangi anugerah itu melalui produk inovasi mereka ‘Chasoot Nugget’. Kesemua mereka merupakan pelajar kursus kokurikulum berkredit Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM), Pusat kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) dengan dibimbing jurulatih dan penasihat, Sakinah Ithnin serta Pengarah PKPP, Dr. Jurry Foo. Menurut Dr. Jurry, keistimewaan produk inovasi daripada pucuk ubi kayu itu antaranya mempunyai khasiat yang baik dengan harga jualan yang mampu milik. “Pada masa yang sama, ia boleh menarik minat masyarakat untuk mengambil lebih banyak sayur-sayuran dalam diet harian selain boleh membantu petani menambahkan pendapatan. “Justifikasi idea ini juga adalah bersandarkan kepada kajian manfaat pucuk ubi kayu kepada kesihatan manusia dan juga isu obesiti dalam kalangan masyarakat. “Dari segi pasaran, produk ini mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana limpahan ubi kayu di Malaysia, kemudahan pengeluarannya, dan fakta bahawa ia adalah nuget sejuk beku yang boleh disimpan lebih lama daripada makanan segar,” katanya. Pertandingan SIVIIC kali ke-2 itu dianjurkan Jabatan Penyelidikan, Hubungan Industri, Komuniti dan Alumni (PJIMA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah. Menurut Jurry, lima lagi kumpulan lain turut mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila kesemua mereka masing-masing dinobatkan Anugerah Gangsa. “Lima kumpulan pelajar UMS ini meraih pingat melalui produk Smart A-Bin, Charm-Dal Light, Innovation of Tombstone ‘Batu Nisan’, Friendly Wudhuk Hand Shock, dan produk Prayermate With Pocket . “PKPP berhasrat meneruskan budaya reka cipta dan inovasi sebagai satu daripada kaedah penyampaian dalam Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) yang ditawarkan di UMS. “Sebagai menjamin kualiti dan impak menyeluruh kepada pelajar, PKPP UMS bercadang untuk menganjurkan bengkel dan seminar bersama Majlis Pengarah Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) pada masa akan datang,” jelasnya. Dalam pada itu, Jurry memaklumkan bahawa pencapaian pelajar dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa membuktikan bahawa Kemahiran Reka Cipta dan Inovasi seperti yang disarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah sangat relevan pada masa kini.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page