top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program AII bantu golongan muda dan rentan sertai sektor teknikal


2 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Golongan muda dan rentan yang tidak mempunyai kelayakan TVET kini berpeluang untuk menyertai sektor pekerjaan teknikal melalui program Academy In Industri (AII) dimana Kementerian Ekonomi memperuntukkan RM40 juta bagi tujuan tersebut.


Program ini melibatkan kerjasama dengan 200 syarikat rintis yang telah mendapat pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program ini menggunakan pendekatan place and train, di mana peserta program akan bekerja sambil belajar dan mendapat sijil SKM selepas 18 bulan.


“Kita peruntukkan RM40 juta tahun ini untuk program ini sebab kita nak lihat dahulu prestasi kumpulan pertama pelatih,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program AII di Kuala Lumpur.


Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membayar insentif penempatan pekerja, insentif lulus kekal dalam pekerjaan, dan insentif pensijilan bagi pelatih yang menamatkan latihan.


Bagi pihak majikan pula, beliau berkata, mereka akan diberikan insentif latihan bagi pelatih yang berjaya mendapat sijil SKM di akhir tempoh latihan.


Rafizi berkata program ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan produktif dalam sektor teknikal, dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.


“Program ini juga boleh meningkatkan pendapatan pekerja berkemahiran bersasar ini dalam jangka masa tertentu, sama seperti pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Comments


bottom of page