top of page

PROGRAM BERIMPAK TINGGI DI SABAH AKAN TERUS DILAKSANA: TUN JUHAR

  • Wartawan Nabalu News
  • Nov 12, 2020
  • 2 min read




12 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Projek-projek berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor akan terus dilaksanakan bagi memacu dan membangunkan negeri ini.

Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Haji Mahiruddin berkata, dalam usaha untuk memastikan pembangunan semula ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha untuk memacu dan membangunkan negeri ini khususnya dalam pelaksanaan projek-projek yang berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor.

“Projek-projek yang berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo, Pembesaran Sepanggar Bay Container Port, Upper Padas Hydro Power, Jalan Kalabakan / Serudong-Semanggaris, dan lain-lain akan terus dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Tun Juhar berkata, kerajaan negeri juga akan terus berusaha memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri dengan menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif, meliputi pelbagai sektor.

Katanya di samping memperkasakan pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar, kerajaan negeri juga komited untuk memberi perhatian terhadap sektor kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan.

Selain itu katanya kerajaan juga akan berusaha menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi serta menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkatkan tahap keselamatan negeri.

“Sesungguhnya pandemic Covid-19 yang melanda dunia, merupakan cabaran baharu kepada manusia sejagat, sehingga kita terpaksa mematuhi “the new normal” dalam kehidupan seharian.


“Dalam konteks kita di Sabah, pandemik ini bukan sahaja telah merubah cara kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri, malah dari segi pergaulan dan cara kita bekerja dengan jadual-jadual baharu di bawah PKP, PKPB, PKPD dan sebagainya.

“Ini bermakna, walaupun kita dilanda pandemik namun urusan pentadbiran, perniagaan, perdagangan dan sebagainya, tetap berjalan bagi memastikan urusan pentadbiran dan ekonomi negeri kekal berfungsi,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page