• Wartawan Nabalu News

Program Jualan Subsidi akan diteruskan bantu kurangkan bebanan rakyat

Chan Foong Hin, Phoong Jin Zhe dan Dennison pada Program Jualan Subsidi di Kg.Kopungit.

3 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Program Jualan Subsidi akan diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan sasar kawasan Parlimen Kota Kinabalu membeli barangan keperluan asas dengan harga murah.


Program ini dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P172 Kota Kinabalu bermula pada 24-25 September lalu di Taman Keramat  dan Changai Villa kemudian diteruskan pada 1-2 Oktober di Kg.Kopungit dan Kepayan Ridge.

Program Jualan Subsidi di Kg.Kopungit

Bagi kawasan Likas, program ini akan dilaksanakan semula pada 8 Oktober depan di Dah Yeh Villa dan 9 Oktober di Pejabat Parlimen Kota Kinabalu.


Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, pejabatnya telah menyediakan sebanyak 800 pek barangan makanan asas untuk Program Jualan Subsidi Fasa 1 sekitar Kota Kinabalu.


Satu pek barangan makanan mengandungi satu bungkus meggi (5 pek kecil), Biskut Kering 355g, minyak masak 1kg, dua tin sardin 135g, tepung gandum 1kg, garam halus 1kg, milo 480g, beras 5kg, sebotol kicap dan satu bungkus mee udang (lima pek kecil) dengan harga RM35 iaitu lebih murah berbanding harga di kedai-kedai biasa.

Program Jualan Subsidi di Kepayan Ridge.

“Barangan bernilai RM53 itu disubsidi RM18 oleh Pusat Khidmat Rakyat P.172 Kota Kinabalu. Orang ramai hanya perlu membayar RM35. Ini adalah antara cara kami membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat,” katanya.


Beliau berkata, menyedari peningkatan inflasi dan kos sara hidup di negara ini, maka Pejabat Parlimen Kota Kinabalu mengambil inisiatif memperkenalkan Program Jualan Subsidi bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Program Jualan Subsidi di Taman Keramat.

Sekiranya Perlimen tidak dibubar dalam masa terdekat, Program Jualan Subsidi Fasa 2 akan diteruskan di kawasan Kota Kinabalu, bagaimanapun tempat program akan ditentukan kemudian, katanya.


Turut hadir memberikan sokongan pada Program Jualan Subsidi di Kampung Kopungit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phoong Jin Zhe, Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu Dennison Indang, Ketua Cawangan UPKO Kota Kinabalu Rowindy Lawrence, ahli-ahli UPKO dan DAP.