Program Karnival HEM SK Taginambur 2025 Tonjol Semangat Keusahawanan Murid
- nabalunews
- 16 hours ago
- 1 min read

28 Mei 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan Taginambur, Kota Belud, telah berjaya menganjurkan Program Karnival HEM SK Taginambur (Hari Keusahawanan) pada 27 Mei 2025 yang lalu, bertempat di perkarangan sekolah tersebut.
Program tahunan ini disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, yang hadir mewakili Datuk Ewon Benedick, ADUN Kadamaian.
Dalam ucapan perasmiannya, Carlye menyampaikan salam dan penghargaan daripada Ewon yang tidak dapat menghadiri majlis tersebut. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak sekolah atas penganjuran program yang berimpak tinggi serta menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan pengetahuan murid dalam pelbagai aspek.

Guru Besar SK Taginambur, Damirin @ Suzana Simbeh, menjelaskan bahawa objektif utama penganjuran karnival ini adalah untuk membentuk murid yang bukan sahaja berilmu dan berpengetahuan, tetapi juga berketerampilan serta bertanggungjawab.
Tambah beliau, program ini juga bertujuan memupuk semangat keusahawanan, memperkukuh perpaduan menerusi kefahaman budaya, dan meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat.
Pengisian program melibatkan pelbagai aktiviti berfaedah seperti pemeriksaan kesihatan percuma, program derma darah, gerai jualan keusahawanan yang diuruskan oleh murid dan ibu bapa, pertandingan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDA), serta ceramah khas oleh wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kehadiran pelbagai pihak seperti Pegawai Polis Perhubungan Sekolah, Sarjan Richard Kinsun, wakil AADK, petugas Klinik Kesihatan Taginambur, Unit Tabung Darah Klinik Kesihatan Kota Belud; para guru, serta ibu bapa turut menyerikan lagi acara tersebut, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara sekolah dan komuniti setempat.
Program ini telah mencapai matlamatnya dalam menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan murid serta memperkukuh hubungan antara warga sekolah dan masyarakat. Pendekatan pendidikan yang menyeluruh seperti ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melahirkan generasi holistik dan berdaya saing.