top of page

Program Kenduri Rakyat MADANI perkukuh penyampaian maklumat kerajaan

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 1 min read

18 Mei 2026


KOTA KINABALU: Program Kenduri Rakyat MADANI menjadi platform penting dalam memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan secara terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.


Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, program setelit itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah menjadi medium untuk menyampaikan dasar, inisiatif serta bantuan kerajaan kepada kumpulan sasar.


Menurutnya, pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut bekerjasama sepanjang program berlangsung sekali gus memperkasakan usaha penyebaran maklumat kerajaan kepada masyarakat.


“Program ini juga menjadi platform untuk mendekati masyarakat melalui pendekatan mesra berteraskan semangat setiakawan dan kekeluargaan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Padang Sekolah Kebangsaan Kampung Talungan, Telipok pada Sabtu.


Jainisah berkata, penganjuran program dalam suasana sambutan bulan Kaamatan memberi peluang kepada pengurusan jabatan dan agensi terlibat untuk turun padang serta berinteraksi secara langsung dengan pelbagai lapisan masyarakat di kawasan Sepanggar.


Program itu dianjurkan oleh JAPEN Sabah dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.


Antara pengisian utama program ialah Rewang Perdana melibatkan aktiviti gotong-royong menyediakan juadah, Mini Karnival Perkhidmatan Kerajaan, sesi temu mesra pemimpin bersama rakyat serta persembahan kebudayaan.


Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Inanam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Agensi lain yang turut terlibat ialah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, City University Malaysia serta beberapa agensi di bawah Kementerian Komunikasi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page