Program kesedaran kanser di Kampung Sukang
7 November 2024
KOTA BELUD: Pengesanan awal kanser boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko komplikasi kesihatan yang serius.
Sehubungan itu, lebih banyak program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser serta memberi akses kepada pelbagai saringan dan vaksinasi bagi pencegahan awal, khususnya di kalangan komuniti luar bandar, diadakan di negeri ini.
Hari ini, program Kesedaran Kanser telah berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sukang Kelawat, Kadamaian.
Program ini dirasmikan Pegawai Pembangunan Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N11 Kadamaian, Juin Kolod yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Program ini berlandaskan prinsip “mencegah lebih baik daripada mengubati,” dengan penekanan bahawa pengesanan awal kanser boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko komplikasi kesihatan yang serius.
Ia juga menyokong aspirasi untuk memastikan tiada individu yang ketinggalan dalam usaha memerangi kanser serviks di Malaysia.
Program ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Pencegahan Kanser Sabah (PPKS), Bulan Sabit Merah Malaysia (Sabah), dan beberapa kelab Lions termasuk Lions Club of Kota Kinabalu Lintas, Kota Kinabalu Downtown, Kota Kinabalu Capital, KK Sutera, dan Kota Kinabalu Star.
Seramai 131 orang telah hadir dan turut serta dalam pelbagai aktiviti dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan.
Antara aktiviti dan pengisian program adalah saringan kesihatan (pemeriksaan tekanan darah dan paras gula), suntikan pelalian untuk perlindungan papilomavirus manusia (HPV) serta saringan kanser serviks menerusi pemeriksaan IBreast (untuk pengesanan awal kanser payudara).
Turut diadakan program derma darah anjuran Lions Club of Lintas, pendaftaran untuk subsidi mamogram, ceramah kesedaran kanser dan sesi soal jawab serta cabutan bertuah bagi pengunjung.
Comments