Program Kesedaran Kanser di Sabah beri maanfaat kepada masyarakat luar bandar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program Kesedaran Kanser di Sabah beri maanfaat kepada masyarakat luar bandar


20 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI : Program-program yang dijalankan oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser di negeri ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutama di kawasan luar bandar.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, berkata program kesedaran kanser yang dilaksanakan di Kampung Bontoi adalah satu contoh yang menunjukkan usaha NGO untuk membantu masyarakat luar bandar.


“Saya amat menghargai pencapaian Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) yang telah menganjurkan pelbagai program kesedaran kanser di negeri ini.


“Mereka tidak sahaja berjaya mencapai objektif penubuhan mereka, tetapi juga telah dapat membantu ramai wanita berumur 40 tahun dari pelbagai daerah di negeri ini untuk melakukan pemeriksaan awal kanser payudara dan kanser servik,” katanya ketika merasmikan program kesedaran kanser di Kampung Bontoi, baru-baru ini.


Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata PSKS juga telah merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah penginapan untuk pesakit kanser di sebuah rumah sewa di Taman Kingfisher.


“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada PSKS atas kejayaan mereka dalam menyediakan penginapan kepada pesakit kanser dari luar bandar yang menjalani rawatan jangka panjang di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.


“Saya harap usaha mulia PSKS ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak. Saya juga menyeru agar semua pihak dapat memberikan sumbangan kepada PSKS bagi mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.


Sementara itu, Jahid berkata beliau akan sentiasa menyambut baik dan menyokong program-program yang bermanfaat seperti ini.

bottom of page