Program Kesedaran Pencegahan Jenayah perlu diperbanyakkan
- nabalunews
- Aug 19, 2024
- 2 min read

19 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Program kesedaran pencegahan jenayah perlu diperbanyakkan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan memelihara keamanan di bandar ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata program seumpama ini juga akan meningkatkan kesedaran mengenai langkah keselamatan yang telah dilaksanakan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
"Program ini juga dilihat mampu membina kekuatan Masyarakat Madani di peringkat akar umbi melalui konsep keselamatan menyeluruh," katanya.
George berkata demikian selepas merasmikan Program Community based Security Management (CBSM) di Pantai Pasir Putih, Karamunting, di sini pada Ahad.
Program yang dianjurkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini mendapat sambutan meriah kira-kira 350 penduduk setempat.
"Selain memberi kesedaran tentang tanggungjawab dan tugas anggota keselamatan negara, program seperti ini juga akan dapat mengingatkan penduduk setempat untuk terus mematuhi undang-undang negara, menjauhkan diri daripada jenayah dan terus bersatu padu dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara,” tambah George.
Antara pengisian program ini termasuk taklimat daripada Polis Diraja Malaysia mengenai ancaman jenayah, tindak balas dan langkah pencegahan, taklimat oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenai bahaya dadah serta taklimat langkah pencegahan kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang turut membuat demonstrasi pemadaman api.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin dan wakil dari Majlis Keselamatan Negara.
Program tersebut turut diisi dengan pelbagai program termasuk senaman Zumba, gotong-royong, pertandingan melukis, pengagihan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada pengguna jalan raya dan pameran oleh agensi kerajaan.
Pada majlis sama, George turut menyampaikan sumbangan beliau kepada pesara tentera sebagai tanda penghargaan atas jasa, pengorbanan dan sumbangan mereka menjaga keselamatan negara sepanjang tempoh berkhidmat.
George turut merakamkan penghargaan kepada penganjur dan kesemua jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat atas kejayaan program itu dan berharap penduduk juga akan dapat menyaksikan lebih banyak lagi program seumpama ini.















Comments