top of page

Program MADANI Rakyat 2025 Sabah, 9 hingga 11 Mei

  • nabalunews
  • Apr 30
  • 2 min read


30 April 2025


PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) akan menganjurkan Program Madani Rakyat 2025 Sabah (PMR) di Dataran Majlis Perbandaran Tawau selama tiga hari bermula 9 Mei ini.


Program tersebut diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta kerajaan negeri Sabah.


Sekretariat Program Madani Rakyat 2025 dalam kenyataan memaklumkan, program bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan” itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu kemiskinan tegar secara mampan.


“Pendekatan ini menekankan pemerkasaan rakyat melalui keusahawanan sebagai mekanisme strategik untuk membuka peluang pendapatan, mewujudkan pekerjaan serta menggalakkan mobility sosial dalam kalangan komuniti luar bandar dan golongan B40.


“Ia dirangka untuk meningkatkan taraf ekonomi disamping memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani.


“Melalui pelaksanaan program keusahawanan yang tersusun dan menyeluruh, matlamat untuk menoktahkan kemiskinan tegar dapat direalisasikan sekali gus membina masa depan yang lebih berdaya saing dan Sejahtera,” menurut kenyataan itu.


Sepanjang penganjuran program, pelbagai aktiviti berimpak tinggi akan diketengahkan antaranya aktiviti beteraskan aspek kesejahteraan rakyat seperti perkhidmatan berkaitan kos sara hidup, pemeriksaan Kesihatan serta khidmat nasihat sosial.


Selain itu, dalam usaha memperkukuh keharmonian sosial, agenda perpaduan turut diberi penekanan melalui pelbagai program integrasi dan penyertaan komuniti berbilang kaum.


“Peluang pendidikan dan kerjaya turut diberi perhatian melalui penganjuran program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Karnival Kerjaya melibatkan pelbagai agensi dan syarikat swasta," katanya.


Dalam pada itu, PMR 2025 Sabah juga bakal mengetengahkan inisiatif kerajaan negeri dalam usaha menoktahkan kemiskinan melibatkan lima teras intervensi bantuan iaitu Perumahan, Pendidikan, Pekerjaan, Kebajikan serta Keusahawanan dan Latihan.


“Keseluruhan program ini dilengkapkan dengan penganjuran Jualan Madani yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan,” katanya.


Majlis Penutupan PMR 2025 Sabah bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 petang 11 Mei yang akan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi kerajaan Pesekutuan dan negeri.


Orang ramai dijemput menghadiri program itu yang bermula dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala hari Ahad bermula dari 9 pagi hingga 6 petang.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page