top of page

Program PANTAS, hadiah terbaik Hari Malaysia penduduk Kg.Togudon

  • nabalunews
  • Aug 29, 2024
  • 2 min read


29 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pelancaran penyukatan tanah di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) Kg.Togudon adalah hadiah terbaik sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berharap, penyukatan tanah di bawah Program PANTAS yang pertama dilaksanakan dalam daerah Penampang akan diteruskan di kampung-kampung lain.


“Selaku wakil rakyat Penampang, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang bersetuju melaksanakan Program PANTAS di sini.


“Penyukatan tanah ini melibatkan keluasan 982 hektar ataupun sekitar 2,400 ekar yang dipohon kira-kira 500 penduduk kampung yang selama ini menantikan pemilikan tanah selepas kampung ini wujud sejak 1920an.


“Penyukatan tanah dijangka selesai pada Mei 2025 dan geran-gerannya dijangka siap menjelang hujung tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Penyukatan Tanah di Bawah Program PANTAS Kg.Togudon, di sini, hari ini.


Ewon yakin, dengan adanya pemilikan geran tanah, akan memberikan manfaat kepada penduduk kampung termasuk memudahkan mereka menerima bantuan-bantuan kerajaan dalam pertanian dan keusahawanan.

Beliau berkata, sebagai anggota kabinet kerajaan persekutuan, beliau akan memastikan Program PANTAS diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030).


“Saya telah membangkitkan perkara ini semasa perbincangan Pelan Transformasi Agenda Ekonomi Bumiputera yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri beberapa minggu lepas, dengan menyatakan pentingnya pemilikan tanah. kepada pembangunan masyarakat bumiputera khususnya anak negeri di Sabah.


“Kabinet telah merekodkan pandangan saya dan saya akan terus berjuang supaya dalam RMK-13, peruntukan yang bersesuaian itu dapat disalurkan kepada Kerajaan Sabah khususnya kepada Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.


Ewon berkata, beliau akan memohon kepada Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur supaya penyukatan tanah di bawah Program PANTAS turut dilaksanakan di kampung-kampung lain dalam daerah Penampang terutamanya kawasan yang berkecerunan tinggi.


“Ini juga antara tuntutan rakyat Penampang dan selaku wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini,” katanya

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page