top of page

Program Pembuatan Linangkit Perkasa Komuniti Kiau, Pelihara Warisan Budaya

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

5 November 2025


KOTA KINABALU: Program Peningkatan Kemahiran Pembuatan Linangkit, Pakaian Tradisi dan Aksesori Etnik Komuniti Tertumpu Kampung Kiau, Kota Belud berjaya memperkasa komuniti setempat dalam usaha memelihara warisan budaya masyarakat Dusun melalui penguasaan kemahiran seni sulaman tradisional Linangkit.


Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Ecocampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Debbra Toria Nipo, matlamat utama program itu adalah untuk mengekalkan seni Linangkit sebagai identiti budaya tempatan, di samping memperkasa komuniti melalui latihan kemahiran dan peluang ekonomi baharu.


“Program ini bukan sekadar memperkenalkan semula seni pembuatan Linangkit, tetapi turut membuka ruang kepada wanita dan belia tempatan untuk menjana pendapatan melalui hasil tangan sendiri.

ree

“Inisiatif ini juga selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani, khususnya dalam aspek kemampanan melalui pemulihan dan kesinambungan amalan budaya,” katanya.


Tambah Debbra, inisiatif itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui latihan praktikal dan perkongsian ilmu dalam pembuatan Linangkit, serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari melalui pengukuhan identiti komuniti, perpaduan, dan pemindahan ilmu antara generasi.


Program yang berlangsung di Walai Mitapus Kiau, Kampung Kiau mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat, khususnya golongan wanita dan belia yang menunjukkan minat tinggi dalam mempelajari teknik pembuatan pakaian tradisional dan aksesori etnik.

ree

Pelaksanaan program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Pendayaan Komuniti @ UniMADANI, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan keusahawanan masyarakat luar bandar.


Ia diketuai oleh Dr. Debbra Toria Nipo, bersama Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Dr. Jaratin Lily dan Marry Tracy Anak Pawan.


Program tersebut turut dijalankan melalui kerjasama erat antara komuniti Kampung Kiau, Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS, serta rakan strategik Chanteek Borneo dan Tungku Sewing Training Center.


Kejayaan pelaksanaan program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti lestari yang menggabungkan elemen warisan budaya, pendidikan, dan keusahawanan di Sabah.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page