Program Perpaduan Sosial dedah belia pedalaman kepada pertanian moden
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

18 Mei 2026
TENOM: Seramai 160 belia menyertai Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) anjuran Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai peluang dalam sektor pertanian moden, khususnya di kawasan pedalaman.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata program selama tiga hari itu memberi fokus kepada penglibatan belia dan warga sekolah melalui pelbagai aktiviti berteraskan pertanian serta pembangunan kemahiran.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pendedahan mengenai peluang kerjaya dan latihan dalam bidang pertanian bagi menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor itu.
“Latihan ini dilaksanakan oleh Pusat Latihan Pertanian dan juga GIATMARA Tenom yang merupakan satu-satunya institusi di Sabah menawarkan latihan teknologi pertanian berasaskan mekanisasi selama enam bulan.
“Selain latihan ladang, peserta turut didedahkan dengan penggunaan teknologi moden seperti dron dalam sektor pertanian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan program berkenaan, di sini, semalam.
Jamawi berkata di Pusat Latihan Pertanian, peserta dilatih untuk menjadi petani berinovasi dan berfikiran kreatif selaras dengan keperluan sektor pertanian moden masa kini.
Dalam pada itu, katanya peserta turut diberikan pendedahan dalam penghasilan kopi berkualiti tinggi, sejajar dengan reputasi Tenom sebagai antara pengeluar kopi utama di Sabah.
“Hari ini masih terdapat kumpulan yang menjalani latihan menghasilkan kopi terbaik dan pendedahan seperti ini penting bagi melahirkan lebih ramai usahawan baharu dalam industri kopi.
“Program ini membuktikan peranan kementerian bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan sukan, malah turut melibatkan pembangunan ekonomi belia melalui sektor pertanian,” ujarnya.
Jamawi turut memberikan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif di atas penganjuran kepada program tersebut terutamanya kepada belia di kawasan Melalap.
Beliau berharap usaha berterusan seumpama itu mampu membuka minda golongan muda untuk melihat pertanian sebagai kerjaya yang berpotensi dan berdaya maju.















Comments