Program Pesisir TVET Borneo UMPSA-UMS Tawar Dua Program Sarjana Muda
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menawarkan dua program Sarjana Muda Teknologi secara pesisir di UMS, iaitu Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian serta Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian.
Penawaran program tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara UMS dan UMPSA menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani antara kedua-dua institusi dalam satu acara di UMS, baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mewakili UMS menandatangani dokumen MoA tersebut, manakala UMPSA diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Binti Alias.
MoA tersebut melambangkan komitmen bersama UMS dan UMPSA untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang pendidikan TVET berkualiti tinggi kepada masyarakat di Borneo, khususnya anak-anak Sabah.
Kasim Ketika berucap pada majlis itu berkata penawaran program berkenaan selaras dengan keperluan semasa industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mempunyai kompetensi teknikal dan profesional.
“Perkembangan teknologi, perubahan landskap industri dan keperluan tenaga kerja masa hadapan menuntut kita untuk menyediakan bakat yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, tetapi turut memiliki kemahiran teknikal, kompetensi profesional dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Dalam konteks ini, pendidikan TVET mempunyai peranan yang sangat penting dan bukan lagi sekadar satu laluan pendidikan alternatif, tetapi merupakan laluan strategik dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri,” katanya.
Menurut Kasim, program itu merupakan permulaan kepada satu laluan baharu yang memberikan peluang kepada anak-anak Sabah untuk memperoleh pendidikan TVET di peringkat yang lebih tinggi tanpa perlu pergi jauh meninggalkan negeri ini pada peringkat awal pengajian.
“Sebagai sebuah universiti awam yang berada di Borneo, UMS melihat perluasan akses pendidikan tinggi sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Kita mahu memastikan bahawa anak-anak Sabah mempunyai peluang yang lebih luas untuk mengembangkan potensi diri, memperoleh pendidikan berkualiti dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
“Pada masa yang sama, kita percaya bahawa kekuatan UMS dalam ekosistem pendidikan tinggi di Sabah dapat digabungkan dengan kepakaran dan pengalaman UMPSA sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Profesor Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser; dan Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik UMPSA, Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab















Comments