top of page

Program Semarak Syawal bantu persediaan masyarakat Islam sambut Syawal

  • nabalunews
  • Mar 28
  • 2 min read


28 Mac 2025


KENINGAU: Program Semarak Syawal dan Jualan Khas Industri Makanan Asas Tani (IMAT) Negeri Sabah mewujudkan platform membantu masyarakat khususnya umat Islam membuat persediaan awal menjelang Syawal.


Program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan bekalan keperluan harian yang berkualiti pada harga berpatutan. 


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan akses langsung kepada produk segar dan berkualiti.


Di samping itu katanya, ia juga memudahkan para pengguna mendapatkan hasil pertanian, produk asas tani, serta barangan keperluan Syawal dengan jaminan kualiti dan harga yang berpatutan. 


“Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada usahawan Pasar Tani dan Industri Asas Tani (IAT) untuk menawarkan produk mereka secara langsung kepada pengguna.” katanya.


Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, antara pengisian program Semarak Syawal  termasuk penyampaian promosi Jualan Happy Hour bagi produk IMAT dan ayam segar.


Katanya, selain itu pengunjung juga ditawarkan jualan khas seperti Bakul MADANI Raya, Kombo Agro MADANI MyRakyat serta Kombo Bakul Raya dengan potongan harga istimewa.


“Selain Pasar Tani Kekal Keningau, Jualan Khas Semarak Syawal turut diadakan di 15 lokasi lain di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.


“Program ini melibatkan 487 usahawan dan dijangka mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1 juta. 


“Antara lokasi utama termasuk Pasar Tani Kinabatangan, Tapak Pasar Tani Sabindo Tawau, Wisma Persekutuan Sandakan, Pasaraya Econsave Lahad Datu, Perkarangan Milimewa Semporna, Perkarangan Kedai Kien Hiong Ranau, serta Labuan Walk di W.P Labuan,” katanya.


Dalam pada itu, Arthur turut berharap agar program ini akan menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dan para usahawan melalui pelbagai aktiviti jualan dan kempen promosi yang dianjurkan di Pasar Tani seluruh negara.


Hadir sama Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani KPKM, Datuk Muhammad Ammir Bin Haron dan Pengarah FAMA Negeri Sabah Sarman Sidno.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page