Program Sibuga Day Out 2024 Takluk : Lahad Datu libatkan 180 pelajar
26 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Filem Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada tragedi yang berlaku pada 11 Februari 2013 mengaitkan krisis diplomatik antara Malaysia dan Filipina selepas lebih 200 pengganas dari negara jiran itu mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah.
Rentetan itu berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas berkenaan sehingga mengorbankan perwira negara.
Hujung minggu lalu, seramai 180 pelajar sekolah yang juga ahli pengakap menonton filem Takluk : Lahad Datu di 10Star Cinemas, Bandar Labuk Square, Sandakan dalam Program Sibuga Day Out 2024 Takluk : Lahad Datu.
Program anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah (PPMCS) Daerah Sibuga itu melibatkan pelajar sekolah dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens Sandakan, SMK Perempuan, SMK Libaran, SK Sibugal, SK Ladang Sandak, SK Sungai Manila, SK Nunuyan Laut dan Sri Tahfiz Nadi Al Baghdadi, Sandakan.
Pesuruhjaya Daerah Sibuga merangkap Penyelaras Program, Ts.Mohd Sofiee Ag Basrih, menerusi satu kenyataan media hari ini berkata Program Day Out 2024 Takluk : Lahad Datu itu diharap mampu menyampaikan mesej penghayatan sejarah serta erti perjuangan pahlawan dalam menentang penjajah.
Tambahnya, program ini juga diharap memberikan impak positif dalam menerapkan semangat cintakan tanah air dan memahami erti sebuah kemerdekaan.
Sofiee juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program tersebut yang diharap mencapai matlamatnya.
Comments