Projek infrastruktur kecil di bawah JKR dipindah ke jabatan lain – Anwar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Projek infrastruktur kecil di bawah JKR dipindah ke jabatan lain – Anwar


12 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Projek-projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif yang kini di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, tindakan itu bertujuan untuk mengurangkan beban JKR yang mempunyai tanggungjawab terlalu besar dalam melaksanakan projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur kepada pelbagai kementerian, jabatan, badan berkanun dan kerajaan negeri.


"Saya telah bincang dengan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, projek-projek seperti sekolah daif, klinik daif, baiki tandas tidak perlu lagi membebankan JKR.


"Pindahkan tugas itu ke jabatan atau ke pejabat daerah," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun 2023 di sini hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun projek infrastruktur besar seperti lebuh raya dan tebatan banjir itu penting tetapi bagi rakyat, isu seperti tandas sekolah, parit tepi rumah atau pagar masjid juga penting.


"(Ini) termasuk penyaluran bantuan seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah), E-Kasih dan lain-lain, sebab itu saya bagi arahan supaya disegerakan," katanya.


Katanya, beliau juga bercadang bertemu dengan pegawai-pegawai daerah pada minggu depan berhubung pelaksanaan projek infrastruktur kecil.


Anwar dalam masa yang sama juga mahu semua projek rakyat yang sudah diputuskan dan diumumkan, dilaksanakan segera.


Beliau berkata, perkara itu telah disampaikannya kepada Jemaah Menteri selain perbincangannya di Kementerian Kewangan serta bersama Ketua Setiausaha Negara.


Dalam pada itu, beliau juga mahu semua ketua jabatan melihat kemajuan pelaksanaan projek-projek yang telah diumumkan kerajaan.


"Saya menggesa minggu ini semua jabatan lihat apa yang diluluskan, apa yang mula dilaksanakan, apa yang belum dilaksanakan, apakah kerana peruntukan tidak sampai, apakah ditugaskan kementerian-kementerian lain," katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page