top of page

Projek karbon di Sabah perlu persetujuan komuniti anak negeri- Ceasar

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 1 min read

29 April 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan bahawa setiap projek karbon di negeri ini tidak boleh dilaksanakan tanpa penglibatan serta persetujuan komuniti tempatan, khususnya masyarakat anak negeri, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.


Beliau berkata, Seksyen 22 Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 memperuntukkan keperluan rundingan bersama komuniti serta cadangan perkongsian manfaat sebelum sesuatu projek diluluskan.


Sehubungan itu, katanya sebarang aktiviti karbon yang melibatkan kawasan komuniti anak negeri tidak boleh dilaksanakan secara berasingan tanpa mengambil kira kepentingan serta penyertaan mereka dalam projek berkenaan.


“Peruntukan ini menjadi asas penting bagi memastikan kepentingan komuniti tempatan, termasuk komuniti adat sentiasa diberi perhatian dalam pelaksanaan projek-projek karbon.


"Perincian lanjut mengenai tatacara penglibatan, syarat kelulusan dan mekanisme pelaksanaan akan diperhalusi melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah enakmen ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berhubung jaminan pulangan kepada komuniti yang menjaga aset hutan negeri.


Selain itu, Mandela berkata kerajaan negeri merancang menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC) bagi menyelia penguatkuasaan enakmen berkenaan.


Katanya, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) akan merangka dan menggubal peraturan berkaitan sebagai persediaan pengoperasian pusat berkenaan selain mengawal selia keseluruhan aktiviti karbon di negeri ini.


“SCAC juga akan bertindak sebagai badan induk yang bertanggungjawab merangka Dasar Perubahan Iklim Negeri.


“Dasar ini akan diselaraskan dengan keunikan ekologi serta landskap sosioekonomi Sabah, selain mengambil kira pendekatan bersesuaian bagi mendepani ketidakpastian impak perubahan iklim terhadap negeri ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page