top of page
  • nabalunews

Projek Kuamut detik pemulaan agenda karbon kredit negara


8 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Lelongan kredit karbon Projek Kuamut di Sabah menerusi Bursa Carbon Exchange (BCX) bulan lalu menjadi pendorong kepada negeri lain dalam pemeliharaan hutan dan sumber alam.


Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata projek itu merupakan penawaran kredit karbon pertama Malaysia di bawah BCX.


“Untuk lelongan BCX kredit karbon pertama Malaysia, kami berbesar hati menawarkan kontrak Kredit Karbon berasaskan Alam Malaysia Plus (MNC+) yang menampilkan kredit karbon yang dijana daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut di Sabah.


“Projek Kuamut adalah penting untuk Malaysia kerana ia menunjukkan bahawa hutan negara boleh berjaya menghasilkan kredit karbon berintegriti tinggi,” katanya dalam ucapan di Forum Pasaran Karbon Malaysia hari ini.


Katanya, platform BCX telah menerima akreditasi daripada I-TRACK Standard Foundation pada Mei lalu, menjadikan BCX pengendali platform dagangan Malaysia yang pertama, dan satu daripada enam di seluruh dunia.


Perkembangan ini susulan Memorandum Kerjasama yang ditandatangani antara Bursa Malaysia, Sarawak Energy, I-TRACK Standard Foundation dan Hydropower Sustainability Alliance pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai tahun lalu.


Dalam pada itu, sebuah Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA) telah dilancarkan pada majlis hari ini sebagai usaha berterusan membangunkan ekosistem pasaran karbon. Ia bermatlamat memajukan industri dan berfungsi sebagai lembaga yang kukuh kepada kerajaan untuk menggubal dasar praktikal.

Bình luận


bottom of page