Projek Ladang Solar Q-Solar Tingkat Bekalan Elektrik Di Tawau
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

2 Ogos 2025
TAWAU: Projek Ladang Solar Berskala Besar (LSS) Q-Solar Tawau yang dijangka mula beroperasi pada 30 November 2026, mampu meningkat bekalan elektrik di daerah ini berasaskan tenaga bersih.
Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr Yusof Yacob berkata, projek yang dibangunkan di atas kawasan seluas 45.13 ekar itu mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 15MWac atau 20MWdc menerusi kerjasama strategik antara Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Qhazanah Energy Sdn Bhd (QESB) dan QSolar Tawau Sdn Bhd (QSolar).
Katanya, sebagai antara pelaburan tenaga bersih terbesar di Sabah, projek ini turut menyokong agenda kelestarian negeri dengan penggunaan sistem simpanan tenaga bateri (Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri – BESS) bagi memastikan pengagihan tenaga lebih cekap dan stabil.
"Projek ini dijangka memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada masyarakat Tawau, khususnya dalam penyediaan peluang pekerjaan sepanjang fasa pembinaan dan operasi.
"Selain itu, ia juga menjadi platform pembangunan modal insan apabila pelbagai program latihan industri dan teknikal dirancang untuk belia dan penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah projek itu oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, mewakili Ketua Menteri Sabah di Kobuta berhampiran Kolej Pra-Universiti KPM Tawau, hari ini.
Dr Yusof berkata, pelaburan ini bukan hanya melatih tenaga kerja mahir dalam bidang tenaga hijau, malah membantu membina masa depan lestari menerusi penglibatan terus komuniti setempat dalam sektor ekonomi hijau.
Dalam memastikan manfaat ekonomi disalurkan secara menyeluruh, beliau berkata, projek ini turut mengutamakan penglibatan kontraktor, pembekal dan penyedia perkhidmatan dari Sabah, khususnya syarikat yang berpangkalan di Tawau.
"Langkah ini memperkukuh rantaian bekalan perkhidmatan tempatan dan memperkasakan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.
Sebagai syarikat milik Kerajaan Negeri, Dr Yusof berkata, QSB menjadikan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai asas pelaburan.
Katanya, komitmen ini bukan hanya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga menekankan aspek kelestarian dan tanggungjawab sosial.
Malah, beliau berkata, projek Q-Solar di Tawau ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang QSB dalam memperluas pelaburan tenaga boleh diperbaharui di Sabah, dengan projek seterusnya telah dirancang di Keningau.
Justeru, beliau berharap projek Q-Solar Tawau bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat Tawau, tetapi turut berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan tenaga mampan di seluruh Sabah.
Σχόλια