Platform e-dagang MyMall rekod nilai jualan RM24.3 juta
- nabalunews
- Aug 6, 2025
- 2 min read

5 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Platform jualan digital MyMall merekodkan nilai jualan sebanyak RM24.3 juta membabitkan 3,407 peniaga berdaftar setakat 31 Julai lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara dengan pertambahan nilai jualan sebanyak RM15 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Katanya, platform yang diperkenalkan sejak 2022 itu merupakan satu ekosistem keusahawanan digital yang direka khusus untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi tempatan menghadapi cabaran peningkatan kos operasi perniagaan.
“Sehubungan itu, usahawan PMKS adalah digalakkan untuk mendaftar di MyMall dan menggunakan ruang pemasaran secara percuma melalui platform e-dagang ini.
“Usaha KUSKOP ini pastinya akan dapat membantu usahawan dalam menangani isu tekanan kos hidup selain dapat mengembangkan perniagaan secara dalam talian secara percuma," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang ingin tahu langkah KUSKOP untuk melindungi kepentingan usahawan daripada tekanan kos susulan kenaikan komisyen jualan platform e-dagang seperti Shopee, TikTok dan Lazada.
Ramanan berkata, KUSKOP turut melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan digitalisasi keusahawanan menerusi agensi-agensinya termasuk Program Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Penjaja dan Peniaga Kecil (EmpowerPPK).
“Program ini memberi latihan percuma kepada penjaja dan peniaga kecil bagi meningkatkan kemahiran berniaga secara digital dan telah berjaya melatih 618 usahawan pada tahun 2024 dan 210 peserta lagi menerima manfaat sehingga 30 Jun 2025,” katanya.
Namun katanya, jumlah peserta dan skop latihan yang ditawarkan masih terhad disebabkan kekangan peruntukan hanya RM30,000 setahun, justeru KUSKOP sedang memohon peruntukan tambahan bagi memperluas capaian program tersebut.
Selain itu, beliau berkata Studio TikTok Shop Live Hub turut dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara TEKUN Nasional dan TikTok Malaysia.
“Studio ini membolehkan usahawan melakukan penstriman langsung dengan kemudahan teknologi terkini bagi menghasilkan kandungan berkualiti tinggi untuk meningkatkan jualan dan memperluaskan pasaran produk.
“Sehingga Julai 2025, sebanyak 12 siri bengkel promosi dalam talian telah dijalankan secara percuma melibatkan 258 usahawan,” jelasnya.
Katanya, KUSKOP turut menyediakan Sesi Konsultasi Perniagaan (BizClinic) yang dikendalikan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN secara percuma bagi membantu usahawan menangani cabaran kos operasi, strategi penjimatan, pengurusan kewangan dan penyelesaian perniagaan.















Comments