Guna tenaga, air secara cekap dan berhemat sepanjang Aidilfitri - Fadillah
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

20 Mac 2026
PUTRAJAYA: Orang ramai digesa mengamalkan penggunaan tenaga elektrik dan air secara cekap dan berhemat sepanjang sambutan Aidilfitri berikutan peningkatan ketara penggunaan kedua-dua sumber itu pada musim perayaan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penggunaan elektrik bagi kediaman lazimnya meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding hari biasa.
"Antara langkah mudah penjimatan elektrik boleh diamalkan termasuklah mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta mengelakkan peralatan berada dalam mod sedia.
"Selain itu, menetapkan suhu penyaman udara kira-kira 24 hingga 26 darjah Celsius dan menggunakan peralatan elektrik yang ada penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi kadar penggunaan air pula, beliau berkata, ia dijangka meningkat antara 30 hingga 35 peratus di kebanyakan negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang beraya, justeru pihak operator bekalan air telah bersiap siaga bagi memastikan permintaan dapat dipenuhi sebaik mungkin.
Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut memastikan operator bersedia dengan pelan kontingensi jika timbul sebarang insiden luar jangka sepanjang musim perayaan.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui SPAN turut menyasarkan penggunaan air per kapita harian pada kadar maksimum 160 liter, sejajar dengan sasaran antarabangsa.
“Sasaran ini mampu dicapai sekiranya pengguna menggunakan air secara berhemat antaranya membaiki kebocoran paip dalaman, memastikan pili ditutup rapat serta menggunakan sumber air alternatif seperti tadahan air hujan untuk aktiviti bukan teras seperti mencuci lama,” ujarnya.
Selain itu, pengguna turut disarankan mengamalkan disiplin penggunaan, membasuh pakaian hanya apabila muatan penuh dan memilih produk berlabel cekap air dua atau tiga bintang yang mampu membantu menjimatkan hingga purata 50 peratus bil bulanan.
Dari aspek keselamatan elektrik, Fadillah mengingatkan supaya pendawaian rumah sentiasa dalam keadaan baik dan Peranti Arus Baki (PAB) diuji secara berkala dengan menekan butang ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan.
"Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta. Jika tidak, ia perlu diganti oleh kontraktor elektrik berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.
“Langkah lain termasuklah memastikan wayar tidak rosak, tidak membebankan soket elektrik, menggunakan peralatan yang mempunyai label keselamatan, serta mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika sedang dicas,” katanya.
Beliau berkata, amalan penggunaan tenaga dan air secara cekap bukan sahaja menjamin keselamatan ketika beraya, malah menyokong agenda negara dalam memastikan kelangsungan sumber tenaga yang mampan dan berdaya tahan untuk jangka panjang.















Comments