Projek Pan Borneo: KKR sasar WP01, WP02 siap menjelang suku pertama 2027
- nabalunews
- Aug 18, 2025
- 2 min read

18 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan Pakej Kerja 1 (WP01) dan Pakej Kerja 2 (WP02) projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah di kawasan Sipitang disiapkan secara keseluruhan menjelang suku pertama tahun 2027.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek sepanjang 706km itu dibahagikan kepada 35 pakej kerja, dengan WP01 meliputi Sindumin ke Melalia (28.5km) dan WP02 dari Melalia ke Beaufort (34.7km).
Katanya, sehingga 31 Julai 2025, kemajuan fizikal pakej WP01 adalah sekitar 84.22 peratus berbanding jadual sebanyak 87.43 peratus iaitu lewat sebanyak 3.21 peratus.
“Manakala bagi kemajuan fizikal pakej WP02, siap 58.14 peratus berbanding sasaran 60.89 peratus iaitu lewat sebanyak 2.75 peratus daripada perancangan.
“Kedua-dua pakej mencatat kelewatan berbanding jadual asal disebabkan oleh keadaan cuaca tidak menentu dan musim hujan berpanjangan, isu pengambilan balik tanah di beberapa lokasi kritikal serta kekurangan tenaga kerja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai status terkini pembinaan LPB khususnya di Sipitang yang belum menunjukkan kemajuan ketara dan dilihat masih terbengkalai.
Ahmad berkata, skop kerja bagi pakej di Sipitang merangkumi pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong, pembinaan jambatan baharu, naik taraf sistem saliran serta penambahbaikan infrastruktur keselamatan jalan raya.
Menurutnya, pemantauan rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan KKR sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kontraktor mematuhi jadual pemulihan (catch-up plan) yang telah dirancang.
“Kementerian ini mengambil maklum akan kebimbangan rakyat di Sipitang terhadap kemajuan projek ini.
“Justeru, langkah penambahbaikan termasuk pengukuhan kawalan projek, pemantauan secara berterusan serta penglibatan pihak pengurusan secara terus menerusi pewujudan Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LBP Sabah telah dilakukan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai dakwaan bahawa anugerah politik telah menyebabkan projek terbengkalai termasuk LPB Sabah, Ahmad menolak dakwaan itu sebagai persepsi dan dakwaan semata-mata.
Bagaimanapun, beliau mengakui ada menegur kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan sedia ada, dengan mengambil contoh tinjauan beliau dari Telupid ke Sandakan baru-baru ini, yang mendapati jalan tidak diselenggara dengan baik.
"Jika kontraktor tidak menyelenggara dengan baik maka JKR Sabah boleh melantik kontraktor lain untuk menyelenggara jalan itu dan kos penyelenggaraan dipotong daripada kos yang telah dianugerahkan kepada kontraktor berkaitan.
“Setakat ini, ini belum dilakukan, tetapi kita sedang memantau dan memberi amaran ," katanya.















Comments