top of page

Projek Penanaman Jagung Bijian di Sook Perintis Tanaman Skala Besar

  • nabalunews
  • 26 minutes ago
  • 2 min read

ree

21 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Daerah Pensiangan terus menikmati limpahan pembangunan ekonomi menerusi projek perintis penanaman jagung bijian di Sook, hasil usahasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kumpulan DESA.


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sebanyak RM3 juta telah diluluskan untuk melaksanakan projek berkenaan di Keningau Integrated Livestock Centre (KILC) di atas kawasan seluas 100 ekar.


Katanya, projek berkenaan akan menjadi perintis kepada penanaman jagung berskala besar di negara ini, sekali gus menjadikannya pembekal bahan makanan kepada industri ternakan tempatan.

ree

“Projek penanaman ini sudah bermula dan kawasan 100 ekar ini dijangka akan dibangunkan sepenuhnya pada tahun hadapan.


“Kita menganggarkan hasil sebanyak 2.5 metrik tan setiap ekar dan dengan jumlah pusingan sebanyak dua kali setahun kita jangkakan hasil sebanyak 500 metrik tan setahun,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, meskipun jumlah itu belum mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik, ia merupakan langkah penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan makanan import serta memperkukuh keupayaan penyelidikan dan penanaman tempatan.

ree

Menurut Arthur, Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada import jagung bijian bagi sektor ternakan dari negara pengeluar utama seperti Brazil dan Argentina.


“Kita masih belum dapat bersaing dari segi pengeluaran yang berskala besar, dan juga akibat faktor kesesuaian tanah dan iklim.


“Kementerian kini menjalankan kajian untuk membangunkan varieti jagung bijian tempatan yang lebih sesuai dengan keadaan tanah dan iklim negara, supaya kita juga boleh mengeluarkan jagung bijian secara lebih cekap dan berskala besar,” ujarnya.


Beliau berkata, kerajaan menyasarkan 30 peratus bekalan jagung bijian tempatan menjelang 2040, bagi mengurangkan kebergantungan kepada import selain untuk mengurangkan kos pengeluaran pengusaha dan harga kepada pengguna.


Dalam pada itu, katanya, proses penanaman projek perintis itu akan menggunakan kaedah moden berasaskan mekanisasi dan automasi, antaranya jentera jentanam dan dron, bagi meningkatkan kecekapan serta memberi peluang pekerjaan baharu khususnya golongan belia tempatan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page