Projek Perintis Mitigasi Banjir Akan Dilaksanakan Dengan Kerjasama Belanda - Fadillah
18 November 2024
KUALA LUMPUR: Sejumlah projek perintis akan dilaksanakan untuk memantapkan strategi pengurusan banjir di Malaysia dengan kerjasama Belanda menerusi skim Dutch Surge Support (DSS), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif berkenaan bermatlamat membantu Malaysia mengurangkan dan mengawal risiko banjir di samping memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi kesan perubahan iklim pada masa depan.
“Kita berterima kasih kerana kerajaan Belanda telah menawarkan bantuan dalam menangani bencana air menerusi skim DSS. Kita menghargai dan menyambut baik cadangan yang terkandung di dalam laporan Pengurangan Risiko Bencana (DRR).
“Ketika ini, kami sedang merancang untuk melaksanakan beberapa projek perintis hasil daripada kerjasama menerusi skim terbabit,” katanya dalam ucaptama pada program Dialog Air Malaysia-Belanda Ketujuh di sini hari ini, lapor Bernama
Turut hadir Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner.
Fadillah berkata membina ketahanan air amat penting, dengan menekankan risiko perubahan iklim yang semakin meningkat, yang meningkatkan kejadian ekstrem seperti kemarau, banjir serta pola cuaca yang sukar diramal.
“Hal ini melibatkan pengukuhan dan peningkatan infrastruktur, semakan dasar, dan pengukuhan sistem semula jadi dan memberi respons lebih berkesan terhadap tekanan air yang berkaitan dengan perubahan iklim," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa tema dialog tahun ini iaitu “Pathway to Resilience: Achieving Water Security Amidst Climate Change,” sangat relevan kerana menggalakkan pertukaran kepakaran, menangani cabaran yang dihadapi kedua-dua negara serta meneroka inisiatif kerjasama yang sedang dan akan dilaksanakan.
Fadillah berkata inisiatif strategik yang dibincangkan Malaysia dan Belanda termasuk projek perintis dan matlamat keseluruhan Pelan Hala Tuju Transformasi AIR 2040 (AIR2040), menekankan pendekatan bersama kedua-dua negara dalam membina masa depan yang berdaya tahan dalam pengurusan sumber air.
AIR2040, yang dilancarkan pada 29 Okt lepas, katanya menggariskan agenda nasional untuk meletakkan sektor air Malaysia sebagai pemacu pertumbuhan yang dinamik menjelang 2040, dengan matlamat untuk menjadi hab industri air di rantau ini.
“Ketika ini, Malaysia sedang menghampiri penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dengan AIR2040 akan menjadi panduan untuk tindakan strategik dalam rancangan lima tahun akan datang bagi sektor air bermula pada 2026,” katanya.
תגובות