Projek RM30 juta ubahsuai Sri Perdana terima kecaman Ahli-Ahli ParlimenProjek RM30 juta ubahsuai Sri Perdana terima kecaman Ahli-Ahli Parlimen
top of page
  • Nur Syafiqah Abdullah

Projek RM30 juta ubahsuai Sri Perdana terima kecaman Ahli-Ahli Parlimen



28 Sept 2021 Oleh Nur Syafiqah Abdullah KUALA LUMPUR: Projek ubahsuai kediaman rasmi perdana menteri, Sri Perdana di Putrajaya, yang membabitkan kos sebanyak RM30 juta terima kecaman hebat Ahli-Ahli Parlimen yang menyifatkan pengubahsuaian itu sebagai pembaziran dana awam. Rata-rata mereka berpendapat bahawa kos sebesar itu sepatutnya boleh digunakan dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara. Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, duit itu boleh digunakan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan. “Unnecessary! Bazir duit! Kenapa kerajaan suka bazir duit untuk pejabat dan kediaman rasmi ni? Sampai RM30 juta?!! “Orang tengah susah, lapar dan sakit! Beribu perniagaan kena tutup, orang bankrap, student tak boleh bayar yuran uni. Help them lah!” katanya dalam ciapan Twitternya. Sementara itu, ahli politik veteran Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan pengubahsuaian yang kononnya bertujuan untuk menjaga imej negara seperti dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebenarnya satu pembaziran dana awam. “Tugas menjaga imej negara terletak di bahu penghuni Sri Perdana, bukan bangunan itu sendiri.Imej negara tidak dicerminkan dengan bangunn, kediaman dan struktur yang melambangkan kedudukan dan kuasa. “Ia dicerminkan menerusi penghuni bangunan-bangunan ini, oleh nilai, prinsip, integriti, kejujuran, tahap kebertanggungjawaban, dan sikap mengutamakan kepentingan negara yang dipegang mereka,” katanya. Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pula berpendapat bahawa kos pengubahsuaian Sri Perdana itu sepatutnya boleh digunakan untuk menambah katil ICU untuk penyakit Covid-19. “Orang tengah sakit dan mati la wahai PM. Nak jaga imej negara ialah kerajaan kena bersih, cekap, hormati hak kemanusiaan. Bukan renovate rumah PM,” katanya. Manakala, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah berkata: “Mana mungkin sejumlah wang begini boleh disalurkan hanya untuk renovation rumah di Seri Perdana dikala rakyat dalam keadaan yang susah dan tertekan.” Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata kos ubahsuai itu sebenarnya boleh digunakan untuk membantu 300,000 keluarga. “RM300,000 bakul makanan satu parlimen untuk 3,000 keluarga. RM30 juta kos ubahsuai = RM300,000 x 100 kawasan parlimen,” ujarnya. Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, Ismail Sabri berkata antara faktor pengubahsuaian itu termasuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu-tetamu utama negara semasa program-program rasmi Perdana Menteri. Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang ingin tahu mengenai status projek ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri ke-8 di Seri Perdana.

bottom of page