PROJEK TAED DAN EMPANGAN KAIDUAN AKAN DITERUSKAN: BUNGPROJEK TAED DAN EMPANGAN KAIDUAN AKAN DITERUSKAN: BUNG
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PROJEK TAED DAN EMPANGAN KAIDUAN AKAN DITERUSKAN: BUNG



6 JAN 2021


KOTA KINABALU: Projek Pembangunan Tanjung Aru Eco (TAED) dan Empangan Kaiduan akan diteruskan di bawah pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.


Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberitahunya bahawa projek TAED akan diteruskan tetapi dengan skala projek yang lebih kecil berbanding perancangan sebelumnya.


Beliau menambah walaupun projek itu diteruskan namun tidak ada penambakan dalam rancangan baharu.


"Saya akan memastikan projek ini tidak akan mempengaruhi keseluruhan kawasan Pantai Tanjung Aru, kerana beberapa kawasan di pantai itu digunakan orang ramai sebagai kawasan rekreasi.


"Oleh kerana projek ini tidak melibatkan sebarang penambakan, maka kos projek juga akan berkurangan dan landskap projek juga akan berubah," katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JKR 2020, di sini, kelmarin.


Bung berkata, projek itu dijangka dimulakan tahun ini kerana anggota Lembaga Pengarah untuk projek berkenaan telahpun dilantik.


Sementara itu, mengenai projek Empangan Kaiduan, Bung berkata, projek tersebut masih dalam proses perancangan.


Menurutnya, bekalan air negeri masih menjadi satu masalah besar kerana bekalan air sedia ada tidak mencukupi.


"Rakyat Sabah mesti berani, kita semua mesti berani. Sekiranya kita tidak berani, kita tetap seperti ini,” katanya.


Bung menjelaskan bahawa projek tersebut mungkin akan dipindahkan ke Penampang kerana sekiranya projek itu dilaksanakan di Papar, bekalan air yang akan dibekalkan hanya dapat bertahan selama 60 tahun. Tetapi jika empangan itu dibina di Penampang, ia akan bertahan selama 85 tahun.


"Saya mahu empangan tersebut bukan sahaja dapat membekalkan air bersih kepada rakyat tetapi juga dapat menghasilkan belakan elektrik,” katanya.


Beliau turut meyakinkan bahawa sekiranya projek itu dipindahkan, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) akan dijalankan.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page