PRU15: Beri peluang kepada PH realisasikan impian penduduk Pulau Jambongan
Wartawan Nabalu News

14 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
BELURAN: Calon Pakatan Harapan Parlimen Beluran Felix Joseph Saang akan berusaha untuk membangunkan Pulau Jambongan, Sugut, di sini, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, Pulau Jambongan adalah satu pulau yang besar di negeri ini namun masih serba kekurangan dan mundur.
“Dalam lawatan saya di Pulau Jambongan beberapa hari yang lalu, para penduduk kampung amat mengharapkan seorang Ahli Parlimen baharu yang dapat membawa perubahan di kawasan itu.
“Pada masa yang sama, saya juga berkongsi pendapat, tawaran dan aspirasi Pakatan Harapan Beluran bersama penduduk Pulau Jambongan, Paitan Sugut,” katanya.
Felix berkata, isu kemudahan asas terutamanya bekalan elektrik yang masih bergantung pada generator, dan masalah sumber air bersih yang bergantung kepada air hujan adalah isu utama penduduk Pulau Jambongan.
Beliau berkata, ini juga antara isu utama di kebanyakan kawasan di Parlimen Beluran bukan sahaja di darat tetapi di kawasan pulau-pulau.
“Pulau Jambongan adalah salah satu pulau yang terbesar di Sabah tetapi serba kekurangan dan mundur. Pulau ini sebenarnya sangat berpotensi dalam industri pelancongan,” katanya.
Sehubungan itu Felix menyeru para pengundi kawasan Beluran supaya memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk merealisasikan inisiatif menaiktaraf kemudahan asas masyarakat Beluran demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
Comments