PRU15: Tawaran PH Biasiswa B40 disambut baik pelajar pra-U
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Tawaran PH Biasiswa B40 disambut baik pelajar pra-U



14 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Biasiswa B40 dalam Tawaran Pakatan Harapan (PH) mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar pra universiti di sini.


Flora Justin,19, berkata biasiswa itu penting untuk meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan ketika melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).


"Kita juga boleh fokus untuk belajar tanpa merasa tertekan memikirkan tentang yuran pengajian di universiti kerana ia sudah pun termasuk dalam pembiayaan biasiswa ini.



"Saya secara peribadi menyokong penuh tawaran Biasiswa B40 dan mengharapkan ia akan menjadi realiti selepas Pilihan Raya Umum (PRU15) ini," katanya ketika ditemui media di sini.


Bagi Jesslyn Veeleryana,19, bantuan biasiswa itu membolehkan para pelajar B40 tidak lagi perlu bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam melanjutkan pengajian.



"Ini bermakna, selepas tamat pengajian kami tidak terikat dengan hutang PTPTN seperti majoriti graduan pada ketika ini.


"Dengan itu, kami boleh menumpukan usaha-usaha mengubah dan menaiktaraf hidup keluarga berbekalkan ilmu yang dipelajari di IPT," katanya.


Sementara itu, Patricia Philip, 19, berkata Biasiswa B40 membolehkan tidak ada lagi pelajar keciciran dalam melanjutkan pengajian ke IPT.


"Sebelum ini, saya pernah mendengar beberapa kisah pelajar yang berkelayakan namun tidak mampu melanjutkan pengajian akibat kekangan kewangan.


"Melalui penyediaan biasiswa ini, pelajar dari keluarga B40 akan berpeluang menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi sekali gus mampu mengubah nasib keluarga," katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page