PTPTN peruntuk RM41.5 juta wang pendahuluan pinjaman kepada 27,674 pelajar
- nabalunews
- Sep 21
- 2 min read

21 September 2025
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) membabitkan peruntukan RM41.5 juta kepada 27,674 pelajar Ijazah Sarjana Muda yang memasuki Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi sesi Oktober ini.
PTPTN menerusi kenyataan memaklumkan, setiap pelajar layak menerima RM1,500 sebagai bantuan awal bagi persediaan memasuki institusi pengajian tinggi, sekali gus meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan pelajar.
“WPP ditawarkan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima kemudahan tersebut semasa permohonan kemasukan ke IPTA menerusi UPUOnline atau portal rasmi UA.
“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar mestilah merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi syarat kelayakan lain yang ditetapkan PTPTN,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut PTPTN, pelajar boleh menyemak status tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN, dan seterusnya membuat penebusan di semua cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula 24 September 2025.
Jelasnya, penebusan hanya boleh dilakukan oleh pelajar sendiri dengan membawa surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN serta MyKad, manakala wakil tidak dibenarkan untuk urusan tersebut.
Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan, iaitu mulai 24 September hingga 23 November 2025.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kemudahan WPP merupakan bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar di peringkat awal pengajian.
“Kami mahu setiap pelajar dapat memulakan sesi pengajian mereka dengan lebih yakin dan selesa serta tanpa perlu bimbang terhadap kos pengajian.
"Semoga bantuan ini meringankan langkah anda untuk menimba ilmu dan melahirkan siswazah berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara," katanya dalam kenyataan yang sama.
Setakat 31 Ogos 2025, katanya seramai 990,646 pelajar telah menerima manfaat WPP sejak ia diperkenalkan pada tahun 1999, dengan jumlah keseluruhan peruntukan melebihi RM1.46 bilion.
Dalam pada itu, PTPTN mengingatkan pelajar untuk membuat permohonan pinjaman pendidikan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Selain itu, pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Untuk maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN, pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan Politeknik masing-masing atau menghubungi PTPTN selain melalui aplikasi myPTPTN.


















Comments