PUDS Sokong Peruntukan RM50 Juta untuk Latihan Belia Tani dalam Belanjawan Sabah 2026
- nabalunews
- Dec 17, 2025
- 2 min read

17 Disember 2025
KOTA KINABALU: Pertubuhan Usahawan Dusun Sabah (PUDS) menyambut baik peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Belanjawan Sabah 2026 yang memberi penekanan khusus kepada program latihan bagi melahirkan generasi muda dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.
Presiden PUDS, Raynold Saikam, berkata inisiatif tersebut merupakan langkah strategik dan tepat pada masanya bagi memastikan kesinambungan sektor asas negeri, khususnya dalam memperkukuh keterjaminan makanan Sabah.
Menurutnya, isu utama sektor pertanian pada masa ini bukanlah kekurangan tanah atau potensi pasaran, tetapi kekurangan tenaga kerja muda yang terlatih, berdaya saing dan berorientasikan keusahawanan.
"Oleh itu, fokus kepada latihan berstruktur dan pemindahan ilmu adalah selari dengan keperluan sebenar industri," katanya dalam satu kenyataan media sosial miliknya baru-baru ini.
Beliau turut menyokong pendekatan yang dicadangkan oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Makanan Sabah, termasuk pengenalan program mentor-menti yang melibatkan usahawan tani muda yang telah berjaya.
"Model ini terbukti berkesan kerana membolehkan generasi baharu belajar terus daripada pengamal industri, bukan sekadar teori, sekali gus mengurangkan kadar kegagalan perniagaan tani pada peringkat awal," jelas Raynold.
PUDS juga menyokong usaha kerajaan negeri meneroka kerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan skim pembiayaan berbayar balik tanpa faedah.
"Pendekatan ini bersifat mendidik dan mampan kerana menggalakkan disiplin perniagaan dalam kalangan belia, berbanding kebergantungan kepada bantuan sekali beri yang sering gagal membina daya tahan jangka panjang," ujarnya.
Di samping itu, beliau memandang positif pelaksanaan program jelajah kebun-dapur dan pembangunan agropelancongan seperti yang diperkenalkan melalui Agropelancongan Durian Sabah.
"Ia membuka peluang nilai tambah kepada hasil pertanian tempatan, khususnya komuniti Dusun yang mempunyai kekuatan dalam tanaman tradisi dan pertanian berasaskan budaya.
"Inisiatif ini bukan sahaja menjana pendapatan, malah membantu memelihara warisan pertanian tempatan," katanya.
Raynold menekankan, kejayaan peruntukan ini bergantung kepada pelaksanaan yang telus, penyertaan aktif komuniti setempat serta pemantauan berterusan bagi memastikan latihan benar-benar membawa kepada penghasilan usahawan tani yang berdaya maju.
Secara keseluruhannya, PUDS menyokong penuh aspirasi “Jangan malu jadi petani” dan percaya bahawa dengan latihan berkualiti, bimbingan berterusan serta akses pembiayaan yang adil, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan mampu menjadi pilihan kerjaya yang bermaruah, moden dan menguntungkan bagi generasi muda Sabah.


















Comments