top of page

Pusat NADI di seluruh negara bakal sediakan e-kesihatan

  • nabalunews
  • 17m
  • 2 min read

DRON...Fahmi (lima dari kiri) dan Dzulkefly (tiga dari kanan) bersama tetamu kenamaan lain menyaksikan dron yang digunakan untuk menghantar ubat.
DRON...Fahmi (lima dari kiri) dan Dzulkefly (tiga dari kanan) bersama tetamu kenamaan lain menyaksikan dron yang digunakan untuk menghantar ubat.

24 Julai 2025


PAPAR: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di lebih 700 lokasi di seluruh negara bakal menyediakan perkhidmatan e-Kesihatan menerusi kerjasama di antara Kementerian Komunikasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM).


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan KKM sedang meneliti perkhidmatan e-Kesihatan untuk meringankan beban rakyat yang memerlukan saringan kesihatan dengan mudah khususnya di kawasan pedalaman serta luar bandar.


"Kita bermula di sini tapi kita akan perluaskan NADI ke seluruh negara di mana dengan kemajuan internet yang lebih tinggi dan juga berhasrat untuk menyediakan beberapa perkhidmatan kesihatan secara e-Kesihatan atau telekesihatan yang kita harap akan meringankan sedikit beban terutama bagi lebih 700 NADI yang berada di kawasan luar bandar.

Fahmi (tengah) ketika bercakap kepada media.
Fahmi (tengah) ketika bercakap kepada media.

"Dengan adanya internet yang laju dan kemudahan e-Kesihatan seperti ini, kita harap rangkaian di antara NADI dan klinik-klinik kesihatan akan dapat diperkukuh, memudahkan para pesakit untuk melakukan saringan kesihatan dengan mudah dan rutin tanpa perlu mereka pergi ke klinik-klinik kesihatan," jelasnya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Bersama Komuniti di NADI Kampung Langkuas Kinarut dekat sini, pada Rabu.


Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan kerjasama bersama KKM dengan penggunaan teknologi baharu iaitu penggunaan dron untuk menghantar ubat-ubatan ke klinik kesihatan di kawasan luar bandar masih pada peringkat perintis.


"Dalam masa yang sama, kita juga melihat ada satu teknologi baharu penggunaan dron untuk menghantar ubat-ubatan dan ini masih di peringkat rintis di mana beberapa bulan yang lalu YAB Perdana Menteri telah melihat pelaksanaan penggunaan dron bagi tujuan penghantaran ubat-ubatan di Tawau di sebuah NADI di Tawau.


"Selepas ini, kita akan mengenal pasti rangkaian klinik kesihatan dan NADI di mana mereka yang hadir untuk mendapat perkhidmatan e-Kesihatan sekiranya mereka perlu ubat-ubatan maka boleh dihantar tanpa perlu mereka pergi keluar dari kampung masing-masing," ujarnya.


Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad.


Dalam lawatan berasingan, Fahmi turut menghadiri Program Sembang Santai Bersama Komuniti Madani Papar yang dihadiri kira-kira 100 ahli di salah sebuah pusat peranginan dekat sini.


Program santai tersebut bertujuan untuk memberi ruang kepada masyarakat akar umbi untuk bertemu dengan pemimpin, berinteraksi serta berkongsi maklumat serta isu-isu semasa./Penerangan-

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page