Putrajaya, Sarawak capai persefahaman isu Petronas, Petros
- nabalunews
- 5 days ago
- 2 min read

22 Mei 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak mencapai persefahaman dalam isu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) melalui pemeteraian satu deklarasi bersama.
Deklarasi bersama berkenaan ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra, pada Rabu.
Dalam sidang media bersama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, persefahaman itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam pembangunan negara dan Sarawak melalui kerjasama strategik antara Petronas dan Petros.
“Persefahaman ini, secara prinsipnya, telah dibincangkan lebih awal bersama Premier Sarawak dengan mengambil kira parameter Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) serta Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) (DGO) 2016 Sarawak,” katanya.
Anwar berkata persefahaman yang dicapai akan memastikan kedudukan Petronas kekal tidak tergugat manakala peranan Petros sebagai syarikat minyak dan gas (O&G) di Sarawak diiktiraf.
“Peranan Petronas tidak terjejas. Ia akan terus beroperasi seperti biasa, namun dalam kerangka baharu yang turut mengambil kira kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak serta peranan Petros.
“Persefahaman ini membolehkan Petronas meneruskan operasinya sambil mengiktiraf Petros sebagai pemain utama di Sarawak. Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor minyak dan gas,” katanya.
Menurut Anwar, persefahaman itu juga mencerminkan kematangan dan keupayaan Sarawak yang semakin berkembang, termasuk dengan penubuhan syarikat minyak dan gas negeri yang berpotensi besar.
Anwar turut menyatakan hasrat kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab serantau industri minyak dan gas di peringkat ASEAN.
“Saya yakin ini merupakan langkah realistik dan strategik yang mampu memperkukuh ekonomi negara serta memperkasakan kedudukan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan atas usaha mencapai persefahaman bersama yang dianggap penting demi kepentingan negara.
“Alhamdulillah, kita telah berjaya menyelesaikan masalah yang timbul, dan deklarasi bersama ini membawa kepada persamaan dan pendekatan bersama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya melibatkan Petronas dan Petros.
"Kita akan terus bekerjasama dalam kegiatan sektor minyak dan gas mengikut peruntukan undang-undang persekutuan dan negeri demi kepentingan negara," katanya.