Rafizi Ramli umum kembali aktif, bertanding Timbalan Presiden PKR
top of page
  • Farah Salim

Rafizi Ramli umum kembali aktif, bertanding Timbalan Presiden PKR


15 Mac 2022 Oleh Farah Salim KUALA LUMPUR: Mantan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan akan datang. Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan keadaan dan perkembangan terbaru politik negara ini. Katanya, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar. “Saya terus mendapat desakan dari pendukung KEADILAN dan PH dari kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik. “Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin boleh membantu dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti di kalangan pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Rafizi berkata, beliau menganggotai KEADILAN sejak 1999 kerana yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai. “Sumbangan saya dalam menubuhkan Pakatan Harapan dalam tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihanraya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu,” katanya. Rafizi berkata, selepas keputusan pilihanraya Negeri (PRN) Johor, beliau menyedari KEADILAN dan Pakatan Harapan telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). “Keputusan PRN Johor baru-baru ini mengesahkan bahawa KEADILAN dan PH telah menjadi parti ketiga selepas BN dan PN. Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia. “Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihanraya negeri. Setiap kali KEADILAN dan PH mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat. “Satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan “khemah besar” untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan UMNO/Barisan Nasional. Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju mengambil pendekatan berbincang dengan Perikatan Nasional mengenai kemungkinan bekerjasama dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15),” katanya. Katanya lagi, walaupun tidak ada tanda-tanda pendekatan “khemah besar” ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan Pakatan Harapan. “KEADILAN dan Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) kerana isu-isu yang dibawa ketika itu dekat dengan rakyat. Rakyat juga tertarik dengan beberapa penyelesaian yang dibawa untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi. “Rentetan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas PRU14 meyakinkan sebahagian rakyat (terutamanya pengundi atas pagar) bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka. “Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan. “Sebab itu UMNO/Barisan Nasional boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018. Dalam keadaan sebahagian besar pengundi atas pagar merasakan KEADILAN dan Pakatan Harapan sudah tidak ada beza dengan UMNO/Barisan Nasional atau Perikatan Nasional, sebahagian besar dari mereka mengalami kelesuan politik. “Mereka mual dengan isu politik kerana tiada perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik. “Kelesuan politik ini juga berpunca dari pelbagai taktik yang dibawa gagasan-gagasan politik untuk mendapat kuasa selepas PRU14,” katanya.

bottom of page