Rais: Perlembagaan Persekutuan jamin kepelbagaian dan kepentingan kaum
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rais: Perlembagaan Persekutuan jamin kepelbagaian dan kepentingan kaum


7 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menegaskan bahawa terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mencerminkan kepelbagaian dan kepentingan kaum di negara ini.


Menurut beliau, antara peruntukan yang menggambarkan kepelbagaian kaum ialah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua individu adalah sama dari segi layanan dan tindakan undang-undang.


"Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Orang Ulu atau Dayak, semuanya sama dari segi tindakan undang-undang di bawah Perkara 8," katanya ketika dihubungi Bernama.


Tambah beliau, Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan tentang hak-hak istimewa orang Melayu dan kepentingan penduduk Orang Asli mana-mana negeri, Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain.


Rais menegaskan bahawa tidak tepat sekiranya ada pihak yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kepentingan untuk kepelbagaian kaum seperti yang didakwa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


"Jadi cukuplah menunjukkan bahawa dalam Perlembagaan Malaysia ada Perlembagaan hak, oleh itu ada kepelbagaian kepentingan bagi semua kaum. Tidaklah tepat hanya menyatakan Perlembagaan kita tidak ada kepelbagaian kaum dan kepentingan kepelbagaian komuniti," katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang menyatakan usaha mempromosi negara berbilang bangsa sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.


Rais juga berkata, berdasarkan Perkara 11, setiap individu di negara ini berhak mengamalkan agama masing-masing dengan aman.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page