top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat digesa jaga semangat perpaduan Ramadan – Arthur


17 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup, menggesa rakyat Malaysia untuk mengekalkan dan memperkasa semangat perpaduan dan saling hormat menghormati yang terjalin di bulan Ramadan.


Beliau berkata bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan bangsa, khususnya di Parlimen Pensiangan.


“Sempena Ramadan ini, kita mengadakan program berbuka puasa bersama pemimpin di masjid dan surau di sekitar kawasan Parlimen saya.


“Program ini merupakan acara tahunan yang telah menjadi amalan saya sebelum menjadi Ahli Parlimen” katanya.


Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia berkata perpaduan adalah asas kepada pembangunan negara yang stabil dan maju.


Oleh itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menggunakan peluang yang ada untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan perpaduan dan keharmonian.


Tegasnya usaha gigih yang berterusan perlu dilaksanakan bagi menggalakkan budaya keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara dan Ramadan adalah antara detik terbaik pencetus perpaduan dalam memacu kejayaan negara.


Jelasnya lagi perpaduan memainkan peranan yang penting dalam membentuk sesebuah negara yang stabil disamping mampu meningkatkan ekonomi di sesebuah negara.


Dengan wujudnya masyarakat yang aman dan harmoni, mampu menarik pelabur asing untuk menjalankan aktiviti perdagangan sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang memberikan manfaat kepada rakyatnya.


Selain daripada program berbuka puasa, Arthur juga turut memberikan sumbangan dan bantuan kepada golongan terpilih seperti anak yatim, ibu tunggal, dan golongan kurang bernasib baik di kawasan Parlimen Pensiangan.

Comments


bottom of page