- Wartawan Nabalu News
Rakyat perlu bangkit bina semula ekonomi desa - Ewon

29 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyeru agar rakyat bangkit membina semula ekonomi desa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, sambutan Pesta Kaamatan yang kini disambut semula di seluruh Sabah harus dijadikan platform untuk mengambil ikhtibar dan mencetuskan semangat baharu membina ekonomi dan sumber pendapatan baharu.
“Semua kita terjejas akibat pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan. Begitu banyak yang terjejas punca pendapatan termasuk di kampung-kampung kerana tidak dapat memasarkan hasil pertanian atau produk keusahawanan desa mereka.

“Di masa yang lampau, masyarakat tani kita juga pernah menghadapi krisis samada melibatkan penyakit tanaman atau perubahan iklim yang menjejaskan tanaman. Tetapi mereka bangkit semula samada menanam di kawasan baharu atau memperkenalkan tanaman lain.
"Demikian juga harapan saya kepada rakyat Sabah, khususnya di kampung-kampung agar dapat bangkit semula daripada krisis yang tercetus akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Ewon yang juga Wakil Rakyat Kadamaian berkata demikian semasa berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kg Madsiang, di sini, kelmarin.

“Kita juga terkesan dan marah dengan kenaikan kos sara hidup khususnya kenaikan harga barang-barang keperluan harian, bahan binaan dan pertanian.
"Bagaimanapun saya percaya dengan semangat kita merayakan sambutan Kaamatan tahun ini akan dapat meningkatkan iltizam dan usaha membina ekonomi desa agar Kaamatan akan lebih bermakna pada tahun seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Datuk Stephen Sampil dalam ucapan beliau menyatakan sambutan Kaamatan Kg.Madsiang dirayakan setiap tahun sehingga tahun 2020 selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua penduduk kampung yang tampil memberi khidmat secara sukerala dalam memastikan kejayaan penganjuran pesta Kaamatan itu selepas dua tahun tidak mengadakan sambutan tersebut.

“Kita menjemput Datuk Ewon merasmikan sambutan ini kerana beliau bukan asing bagi kampung ini. Semasa menjawat Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, beliau turut menyalurkan peruntukan RM70,000 membina pagar gereja kampung ini.
"Kita ingin berkongsi wawasan dan cetusan kepimpinan beliau bagaimana penduduk kampung boleh terus maju ke hadapan,” katanya.

Pelbagai acara disediakan sepanjang sambutan tersebut seperti pertandingan Unduk Ngadau, Sugandoi, mangagung, sumazau, pertandingan masakan tradisional dan jualan gerai-gerai oleh penduduk kampung.
Tempat pertama Unduk Ngadau Kg.Madsiang dimenangi oleh Rodgella Roger, tempat kedua Fairzell Freddy dan ketiga oleh Sheanty Ritchy.
Hadiah pemenang Unduk Ngadau disampaikan oleh isteri Ewon, Datin Connie Parantis.