Rakyat Sabah harap Belanjawan 2023 rapatkan jurang pembangunan dengan Semenanjung
26 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Belanjawan 2023 yang dibentang pada Jumaat memberi harapan tinggi kepada rakyat Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, dengan dana sebanyak RM6.5 bilion disalurkan secara terus, Sabah dapat merapatkan lagi jurang pembangunan antara tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, peruntukan lain seperti RM20 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan RM1.2 bilion untuk menaik taraf beratus klinik dan sekolah di kedua-dua Sabah dan Sarawak turut diberi.
Tambah beliau, peruntukan RM1 bilion juga akan digunakan untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Indonesia.
“Rakyat khususnya di Pedalaman juga menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor supaya CIQ yang sama akan turut dipertimbang untuk dibina di Bantul, Pensiangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam berkata peruntukan daripada Bajet 2023 itu turut memberi impak positif kepada ekonomi negeri khususnya golongan petani, pekebun getah, belia, wanita dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari Sabah.
Jelas beliau golongan tersebut bakal menerima pelbagai kemudahan bantuan, pinjaman mahupun pengurangan cukai.
“Terdapat RM1.7 bilion diperuntukkan untuk pinjaman kepada usahawan PMKS tahun ini menerusi Tekun, BSN dan Bank Negara. Peniaga Sabah harus ambil peluang ini lebih-lebih ekonomi kini semakin pulih dari tekanan pandemik Covid-19 dua tahun kebelakangan ini.
“Saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk mengambil peluang-peluang ini dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sendiri akan mengambil inisiatif memberi penjelasan kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan juga akan memperluas bantuan dan peluang kepada Sabah dalam usahanya, termasuk membuka tanah sebagai kawasan pertanian, untuk mempertingkat sumber makanan sekaligus membantu menurunkan kos bahan mentah makanan kita.
“Kita bersyukur dan mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyediakan bajet pro-rakyat ini dan diharap ia landasan kepada bajet-bajet madani yang lebih hebat pada tahun-tahun mendatang. Insyallah,” ujarnya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu berkata, ini mungkin satu lagi titik permulaan bagi Sabah melonjakkan lagi pembangunannya mengejar Semenanjung, agar tidak lagi tertinggal di belakang dari segi pembangunan dan kemajuan sejak sama-sama membentuk negara Malaysia pada tahun 1963.
Comments