Ramai lagi orang Sabah yang layak jadi duta pelancongan, mengapa pilih Chong Wei?Ramai lagi orang Sabah yang layak jadi duta pelancongan, mengapa pilih Chong Wei?
top of page
  • Farah Salim

Ramai lagi orang Sabah yang layak jadi duta pelancongan, mengapa pilih Chong Wei?


29 Okt 2021

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Bukan rakyat Sabah tidak suka pemain badminton jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, tetapi mereka beranggapan bahawa lantikan beliau sebagai duta pelancongan Sabah tidak sesuai kerana ramai lagi mereka yang berstatus anak Sabah yang lebih layak memegang amanah itu.


Semalam, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin telah menyampaikan sijil pelantikan kepada ikon sukan negara itu.


Chong Wei tiba di Sabah pada Isnin pagi untuk menerima darjah kebesaran sempena ulang tahun rasmi Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang ke-68 yang diadakan dalam satu majlis tertutup.


Pelantikan itu dikatakan merupakan satu usaha untuk mempromosikan pelancongan di Sabah di mana Chong Wei dipilih kerana beliau mempunyai ramai peminat dan hubungan baik dengan pemain badminton seluruh dunia.

Bagaimanapun, beberapa netizen Sabah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana beranggapan bahawa Chong Wei lebih sesuai dijadikan duta di Kementerian Belia dan Sukan atau pelancongan Malaysia.


Sebaliknya, mereka memetik beberapa nama anak jati Sabah yang berkebolehan dalam memegang tanggungjawab dan amanah ini, antaranya personalIti televisyen Malaysia, Daphne Iking; influencer tempatan Adam Shamil; dan peragawaiti antarabangsa, Amber Chia.


“Kita bukan tidak suka dengan Chong Wei, malah kita sangat menghormati Chong Wei kerana beliau mempunyai pelbagai sumbangan dalam bidang Sukan Malaysia.


“Namun dalam bidang pelancongan Sabah, rasanya lebih baik anak jati Sabah yang dilantik kerana sekurang-kurangnya mereka lebih afdal tentang budaya, makanan tradisional dan tempat-tempat di Sabah,” kata seorang pengguna Facebook.


Seorang lagi pengguna Facebook berkata: “Saya kurang setuju Chong Wei menjadi duta Sabah. Tapi saya berharap pelantikan beliau betul-betul dapat mempromosikan pelancongan di Sabah kerana industri ini sudah tenat akibat kesan pandemik Covid-19.


“Saya juga berharap Kerajaan Sabah mempunyai pelan strategik untuk memastikan pelantikan Chong Wei benar-benar efektif. Kita fikir positif saja,” katanya.


Chong Wei dilantik sebagai duta pelancongan Sabah bagi tempoh Oktober 2021 sehingga Disember 2022.

bottom of page