Rawatan air alternatif percepat BALB – Rubin
- nabalunews
- Apr 25
- 1 min read

25 April 2026
KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah dipercepat melalui pendekatan dua hala dengan meneruskan projek jangka panjang, di samping melaksanakan sistem alternatif yang lebih pantas.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang, berkata langkah itu penting bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman dan pulau memperoleh akses bekalan air bersih tanpa menunggu tempoh yang lama.
Menurutnya, rakyat memerlukan bekalan air bersih dengan segera, justeru kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada projek jangka panjang yang memerlukan tempoh bertahun-tahun untuk disiapkan.
"Bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan memperluas penggunaan sistem alternatif seperti paip graviti, telaga tiub dan pam air berkuasa solar.
“Pendekatan alternatif ini mampu disiapkan dalam tempoh satu hingga enam bulan dengan anggaran kos kurang RM3 juta bagi setiap projek,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Pelaksanaan BALB, di sini pada Jumaat.
HLC ditubuhkan sebagai menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan pelaksanaan 83 projek BALB bernilai RM4.06 bilion kepada kerajaan negeri.
Menurut Rubin, semua projek BALB di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diteruskan termasuk projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Ketika ini, projek terbabit berada pada tiga peringkat iaitu siap dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan.
“Bagaimanapun, sebahagian projek dikenal pasti berdepan beberapa kekangan termasuk isu pengambilan tanah dan kelemahan pihak perunding yang menyumbang kepada kelewatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan turut memberikan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek termasuk yang bernilai tinggi, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.
Katanya, langkah itu dijangka mempercepat proses perolehan, pelantikan kontraktor serta pelaksanaan projek agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat dengan lebih segera.















Comments