top of page

Rayuan Kerajaan Persekutuan Terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi Disifatkan Tidak Berniat Baik - SSRANZ

  • nabalunews
  • Nov 14, 2025
  • 3 min read

14 November 2025


KOTA KINABALU: Pertubuhan Sabah Sarawak Rights – Australia New Zealand (SSRANZ) mengecam tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pengesahan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah yang gagal bertindak secara berperlembagaan sejak 1974.


Dalam kenyataan rasminya, SSRANZ menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan bermotif politik, tidak menghormati mahkamah dan menggambarkan niat buruk berterusan Putrajaya dalam menangani hak perlembagaan Sabah dan Sarawak.


Menurut Presiden SSRANZ, Robert Pei, rayuan yang difailkan itu bukan sahaja mempertikai penghakiman berhubung ketiadaan semakan sah Artikel 112D sejak 1973 malah turut mencabar ketidakabsahan Perintah Warta 2022, 2023 dan 2025 serta perintah ganti rugi dan kewajipan membuat akaun atas jumlah yang terhutang kepada Sabah.


SSRANZ turut menegaskan, analisis undang-undang oleh bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Roger Chin, mendapati notis rayuan terkini memperkenalkan dua perubahan utama.


“Pertama adalah merujuk kepada arahan Mahkamah Tinggi mengenai “cara dan atau proses” pelaksanaan semakan Artikel 112D secara langsung mencabar tempoh 90 hari semakan sah dan tempoh 180 hari bagi pelaksanaan.


“Kedua adalah penafian Kerajaan Persekutuan merayu formula 40 peratus atau keperluan semakan, sedangkan inti rayuan tetap mencabar dapatan Mahkamah, tiada semakan sah dibuat selepas 1973 dan Perintah Warta 2022–2025 adalah tidak berperlembagaan.


“Secara keseluruhan, strategi ini mengekalkan formula 40 peratus hanya dalam bentuk teori tetapi memusnahkan keberkesanan mekanismenya,” katanya.


Malah, SSRANZ turut menegaskan, rayuan Kerajaan Persekutuan tidak menunjukkan sebarang kesilapan undang-undang atau fakta dalam keputusan Mahkamah Tinggi.


“Keputusan Mahkamah adalah jelas dan konsisten dengan bukti sejarah serta teks perlembagaan. Rayuan ini direka untuk mengekalkan hak 40 peratus Sabah hanya di atas kertas, sambil menghapuskan mekanisme untuk melaksanakannya,” katanya.


SSRANZ mendakwa, tindakan tersebut membuktikan wujudnya usaha sistematik mengekalkan kawalan politik dan ekonomi Malaya ke atas Sabah dan Sarawak sejak 1963, bertentangan dengan jaminan asal pembentukan Malaysia.


Dalam pada itu, kenyataan itu turut menegur tindakan Kerajaan Persekutuan yang didakwa bercanggah dengan kenyataan awam oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 11 November lalu, yang menyatakan tiada rayuan substantif akan difailkan.


“Sebaliknya, notis rayuan sebenar menentang dapatan Mahkamah mengenai, ketiadaan semakan sah selepas 1973, ketidakabsahan Perintah Warta 2022–2025, keputusan pelanggaran perlembagaan dan perintah ganti rugi serta pembayaran balik.


“SSRANZ menegaskan langkah tersebut bukanlah rayuan teknikal, tetapi satu cubaan mengekalkan “lima dekad pelanggaran tidak berperlembagaan,” katanya.


Sehubungan itu, katanya, kegagalan Kerajaan Persekutuan menjalankan semakan wajib MA63/IGC 1973 adalah satu jaminan penting bagi melindungi autonomi Sabah dan Sarawak.


“Semakan ini sepatutnya menilai autonomi pentadbiran, hak hasil, kawalan imigresen, perkhidmatan awam, tanah dan sumber asli. Kegagalan melaksanakan semakan ini membuktikan niat buruk sejak awal,” kata SSRANZ.


“SSRANZ turut menggariskan siri pelanggaran sistemik sejak 1963, termasuk penurunan status Sabah dan Sarawak pada 1974, pemusatan kuasa melalui pindaan perlembagaan, penghakisan autonomi fiskal dan politik, perampasan aset petroleum dan kegagalan mengiktiraf MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Sementara itu, SSRANZ menegaskan bahawa penyelesaian diperingkat tempatan kini telah habis, memandangkan Kerajaan Persekutuan enggan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi.


Katanya, pertubuhan itu mencadangkan agar Sabah dan Sarawak membawa isu tersebut ke badan perundangan antarabangsa seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA), Jawatankuasa Penyahkolonian PBB (C-24), atau Perhimpunan Agung PBB bagi pendapat nasihat.


“SSRANZ juga menyatakan bahawa sekiranya Kerajaan Persekutuan berhujah Sabah dan Sarawak tiada locus standi, maka persoalan mengenai kesahihan MA63 secara asas (void ab initio) wajar diputuskan oleh tribunal antarabangsa.


“Kesimpulannya, rayuan Kerajaan Persekutuan bukanlah tindakan menghormati proses undang-undang, tetapi lanjutan pelanggaran selama 61 tahun yang melemahkan MA63.


“SSRANZ menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak kini berhak dan berkewajipan mengemukakan isu ini kepada badan adjudikasi antarabangsa bagi menentukan kesahihan MA63, pelanggaran yang berlaku, serta remedi yang wajar.


“Ini bukan keputusan politik, tetapi tuntutan undang-undang untuk memulihkan hak, maruah, dan kedaulatan wilayah Borneo,” tegas SSRANZ.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page